ATAS kertas, pemanah Korea Selatan, Kim Woo Jin tampil sebagai pilihan apabila berdepan jaguh negara, Khairul Anuar Mohamad dalam pusingan 16 terbaik acara recurve individu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Sabtu.
Woo Jin dilabel sebagai pencabar utama dalam perebutan pingat selepas membantu Korea Selatan mempertahankan emas dalam acara recurve berpasukan lelaki pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad memanah negara, Lee Jae Hyung tidak mahu Khairul Anuar terlalu memikirkan reputasi Woo Jin pada saingan di Lapangan Memanah Yumenoshima Park nanti.
Sebaliknya, Jae Hyung sekali lagi mengingatkan Khairul Anuar fokus kepada persiapan dirinya sendiri walaupun sesi latihan pada Jumaat terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca hujan.
"Kami memang sudah lama mengenali Kim tetapi untuk aksi esok (Sabtu), sukar nak ramal siapa boleh mara ke suku akhir. Kami kena lihat juga faktor angin dan panahan siapa lebih konsisten dan stabil.
"Buat masa ini, kami hanya akan menumpukan kepada persiapan masing-masing. Saya harap Khairul Anuar kekal fokus dan konsisten dengan panahannya dalam saingan itu nanti,” katanya.
Khairul Anuar kini selangkah lagi untuk mara ke peringkat suku akhir, sekali gus menyamai pencapaiannya pada temasya Olimpik London 2012.
Terdahulu, Khairul Anuar berjaya mengharungi dua pusingan penuh dramatik apabila terpaksa berentap dalam penentuan shoot-off ketika menyingkirkan pemanah pemanah Finland, Antti Vikstrom dan wakil China, Wang Dapeng.