Cuaca panas: Lapor jika ternampak asap kecil

Iklan
Orang awam diminta untuk segera melaporkan insiden kebakaran kepada pihak JBPM di samping tidak membuat pembakaran terbuka ekoran cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini.

SHAH ALAM - Orang awam diminta untuk segera melaporkan insiden kebakaran kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping tidak membuat pembakaran terbuka ekoran cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini,.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sebarang kejadian yang mencurigakan seperti asap dan api kecil perlu dilaporkan segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih besar ataupun merebak.

Iklan
Iklan

"Terus maklum pada kita InsyaALLAH pihak kami akan respon secepat mungkin dan saya harap tiada pihak yang melakukan pembakaran terbuka, kerana takut tidak ada kawalan dan akan merebak,” katanya ketika di hubungi Bernama.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, negara ketika ini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September.

Iklan

Pada masa yang sama Hafisham berkata, JBPM Selangor sentiasa melakukan rondaan wajib di kawasan yang dikenal pasti menjadi ‘titik panas’ kebakaran, terutamanya ketika cuaca panas dan kering antaranya di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan; HSKL Utara dan kawasan Johan Setia, Klang.

Beliau berkata, pihaknya kini giat menjalankan pemadaman di kawasan dipercayai lokasi pertanian di sekitar Johan Setia sejak Rabu, dan ia kini seolah-olah menjadi ‘rutin’ tahunan untuk pihaknya melakukan pemadaman di lokasi itu.

Iklan

"Sebenarnya sudah selesai padam kebakaran pada Rabu (28 Julai), tapi selepas itu ada kawasan baru yang terbakar. Dipercayai kebakaran berpunca daripada aktiviti pertanian, ditambah dengan cuaca panas kering sekarang ini menyebabkan bacaan Indeks Indeks Pencemaran Udara (IPU) naik mendadak,” katanya.

Media melaporkan pada Rabu lalu, IPU tidak sihat tersebut dicatatkan sejak 2 pagi hari berkenaan pada paras 152 sebelum melonjak kepada 191 setakat 1 tengah hari, hari yang sama.

Dalam pada itu, Hafisham memberitahu, Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 555 kes kebakaran hutan sehingga bulan ini, berbanding 279 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, pada tahun ini pihaknya telah menyelesaikan dua kes kebakaran berskala besar di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan, iaitu pada 27 Feb hingga 8 Mac dan 27 hingga 29 Jun lalu membabitkan lebih 200 keanggotaan daripada pelbagai agensi.

Selain itu katanya, sebanyak 1,240 kebakaran belukar atau lalang direkodkan untuk tempoh yang sama pada tahun ini berbanding hanya 791 kes tahun lalu. -Bernama