PUTRAJAYA - Dua pemain utama perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) iaitu Food Panda Malaysia Sdn Bhd dan Grab Malaysia, diminta mengemukakan cadangan dan polisi yang komprehensif untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna, peniaga dan penghantar termasuk mengkaji kadar caj yang lebih rendah berbanding pada masa ini.
Beliau berkata, syarikat p-hailing tersebut bersetuju memberi maklum balas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa 14 hari terhadap tiga persoalan.
"Pelan komunikasi yang jelas dan teratur dari syarikat kepada peniaga, pengguna dan penghantar, sistem aplikasi yang jelas dan tidak mengelirukan peniaga dan pengguna serta polisi caj penghantaran, komisen dan pembayaran upah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Nanta berkata, langkah itu adalah susulan satu sesi libat urus bersama dua syarikat tersebut yang telah diadakan pada 29 Julai lalu bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan industri p-hailing.
Sesi itu adalah untuk memahami keseluruhan operasi perniagaan dan struktur kos serta membincangkan isu-isu yang berbangkit dan aduan orang ramai berkaitan kadar komisyen yang dikenakan oleh syarikat p-hailing, khususnya dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada masa ini.
Nanta memberitahu, semasa sesi libat urus tersebut KPDNHEP telah mendapatkan penjelasan terperinci berhubung operasi kedua-dua syarikat tersebut, dan pihak syarikat telah memberikan penjelasan berkaitan langkah-langkah yang telah diambil dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan, oleh pengguna dan peniaga.
Tambah beliau, KPDNHEP sentiasa prihatin dan mengambil maklum beberapa isu yang telah diketengahkan pengguna dan peniaga, berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat p-hailing ini.
Pada masa yang sama, Nanta berkata, KPDNHEP menyeru orang ramai supaya sentiasa menjadi pengguna yang bijak dalam memilih barangan dan perkhidmatan, serta memahami setiap terma bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan terutamanya dalam keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik.
Sekiranya terdapat sebarang aduan, orang ramai boleh melayari https://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau melalui aplikasi Whatsapp 019-2794317 atau melalui emel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my. - Bernama