Tanam sikap kepahlawanan hadapi pandemik Covid-19

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

IPOH - Masyarakat perlu bersikap kepahlawanan dalam menangani isu Covid-19 dengan mengambil iktibar kesusahan pejuang terdahulu dalam memastikan kesejahteraan negara terus terpelihara.

Komander Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Datuk Anuar Alias berkata, cabaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kini sedikit sebanyak menggambarkan zaman penjajahan dan darurat, sebelum negara berjaya mengecapi kemerdekaan serta keamanan yang dinikmati sekarang.

Iklan
Iklan

"Keperitan hidup sepanjang PKP, silalah diambil iktibar sebagai pengalaman dan pengajaran kepada kita, ia sedikit sebanyak menggambarkan bagaimana kesusahan semasa zaman penjajahan dan darurat dahulu.

"Perjuangan kita masih belum selesai, kita masih belum menang. Jadi sama-samalah kita berjuang dan bersikap pahlawan dalam perjuangan ini, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuat kuasa dan bekerjasama dengan pihak keselamatan dalam mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam bual bicara khas Hari Pahlawan di Radio Malaysia Perak FM di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut ditemu bual ialah Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai.

Bagaimanapun katanya, masyarakat dilihat kurang penghayatan terhadap Hari Pahlawan, justeru peranan media massa dalam mempromosikan sambutan itu perlu dipertingkatkan.

Iklan

"Saya lihat pada peringkat sambutan Hari Pahlawan, fokus hanya diberi kepada kami anggota keselamatan sahaja, sedangkan masyarakat di luar sana kurang penghayatan.

"Jadi paparan oleh media massa mempromosikan Hari Pahlawan ini amat penting dan kita amat berterima kasih, termasuk sesi bual bicara ini dalam mempromosikan Hari Pahlawan kepada pendengar,” katanya.

Menurut Anuar, Hari Pahlawan tahun ini disambut dengan mengamalkan normal baharu menerusi acara rasmi bacaan doa, Yassin dan tahlil serta khutbah khas Hari Pahlawan di masjid-masjid kem tentera.

Sementara itu, Mazlan berkata, penglibatan rakyat dalam sambutan Hari Pahlawan adalah penting bagi memperingati sejarah perjuangan terdahulu untuk diambil iktibar, supaya sikap tidak bertanggungjawab, mudah terpengaruh dengan hasutan dan mempercayai berita palsu dari laman sosial sehingga mengakibatkan kucar-kacir, tidak berlaku di dalam negara.

"Kalau rakyat mahukan keamanan, mereka perlu menanamkan kesetiaan dan cinta pada negara. Masyarakat perlu diberi kesedaran agar bersyukur terhadap nikmat keamanan dan perlu bertoleransi antara kaum dan agama, malah perlu terlibat secara langsung dalam program Hari Pahlawan,” katanya. - Bernama