Kerajaan PN masih majoriti, 115 ahli Parlimen kekal sokong Muhyiddin

Iklan
Datuk Seri Shahidan Kassim

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai majoriti apabila 115 ahli Parlimen gabungan parti kerajaan itu kekal menyokong pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sehingga kini sokongan ahli Parlimen itu terhadap kerajaan masih tidak berubah dan kekal utuh seperti dulu.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tidak ada perubahan sokongan Ahli Parlimen PNBBC terhadap kerajaan. Jika ada sebarang perubahan sudah tentu mereka akan maklumkan kepada saya.

"Semua masih menyokong kerajaan sedia ada tidak termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memang berkecuali dari dulu dan tidak akan menyokong pembangkang,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menegaskan, sehingga kini tiada sebarang maklumat terdapat Ahli Parlimen PNBBC yang menarik sokongan kepada kerajaan.

"Setakat ini, saya tidak menerima sebarang maklumat daripada Ahli Parlimen PNBBC lain kecuali Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang menarik sokongan kepada perdana menteri tetapi kekal menyokong kerajaan PN.

Iklan

"Saya juga difahamkan bahawa Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sebelum ini menarik balik sokongan diberikan kepada perdana menteri kini kembali menyokong kerajaan PN,” katanya.

Shahidan berkata, PN tetap akan kekal utuh walaupun terdapat undian di Dewan Rakyat kerana mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen lain meskipun difahamkan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak dapat hadir ke Parlimen pada Isnin ini.

"Kenapa pula kerajaan akan kalah kerana kita mempunyai 115 ahli Parlimen. Jika dua atau tiga orang ahli Parlimen tidak hadir kita masih lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

"Kita kena ingat keputusan untuk kekal menyokong kerajaan adalah keputusan parti biarpun beberapa ahli Parlimen menyatakan mereka sudah menarik sokongan diberikan kepada Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

Selain itu, tambahnya, Ahli Parlimen Nibong Tebal dari blok pembangkang, Datuk Mansor Othman yang didapati positif Covid-19 juga tidak hadir pada sesi Parlimen Isnin ini kerana menjalani kuarantin kendiri.

Menjawab persoalan kerajaan dan PNBBC bersedia untuk menghadapi perbahasan serta pengundian jika usul penarikan Ordinan dan Proklamasi Darurat dibuat di Parlimen pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Shahidan berkata, perkara berkenaan tertakluk kepada kuasa budi bicara perdana menteri.

"Kuasa untuk membawa sebarang usul ke Mesyuarat Khas Parlimen adalah terletak di bawah bidang kuasa perdana menteri bukan kuasa kerajaan.

"Kalau perkara itu tiada dalam agenda Mesyuarat Khas Parlimen macam mana kita nak bahaskan dan buat undian. Kalau nak adakan perbahasan dan undian, ia boleh dilakukan semasa sidang Parlimen biasa pada September nanti,” katanya.