PORT DICKSON - Keperluan untuk membuka tanah perkuburan Islam yang dikhususkan bagi pengebumian jenazah pesakit Covid-19 akan diteliti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan berkenaan keperluan tersebut.
"Kami perlukan dapatan dan perbincangan, setakat ini tumpuan adalah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) terlebih dahulu.
"Sekurang-kurangnya kami dapat memberi satu cara yang terbaik dalam menguruskan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 pengusaha kantin dan pekerja pembersihan secara pandu lalu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, setakat Sabtu, lebih RM1 juta peruntukan dibelanjakan Yadim bagi membantu rakyat di seluruh negara terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.
Sementara itu, Zulkifli menasihatkan kepada pihak yang mempunyai perbezaan pendapat dan idea agar tidak menggunakan media sosial sebagai medan bertelagah atau berdebat, sebaliknya perlu berdamai serta berunding secara baik.
"Saya yakin perkara sekusut mana pun akan dapat diselesaikan, justeru buanglah yang keruh dan ambil yang jernih. Sentiasalah bermaafan dan muhasabah diri, maka kita boleh ke depan terutama dalam memberi bantuan, menyampaikan dakwah sekali gus menyatukan ummah,” katanya.- Bernama