ALOR GAJAH - Seorang pesara tentera mencuri tumpuan orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu kerana tampil berbusana Jalur Gemilang di sini, pada Sabtu.
Md Rahim Maskop, 52, yang tiba sekitar jam 9.30 pagi iaitu tiga jam lebih awal dari masa janji temu, kelihatan ceria dan bersemangat untuk menerima suntikan dos kedua di PPV berkenaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurutnya, biarpun menerima dos kedua namun dia tetap teruja.
Dia turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik apatah lagi negara bakal menyambut bulan kemerdekaan tidak lama lagi.
Katanya, sebanyak tujuh Jalur Gemilang bersaiz besar digunakan untuk menyiapkan busana baju Melayu yang dijahit oleh seorang tukang jahit berdekatan kediamannya, manakala tiga helai Jalur Gemilang bersaiz kecil digunakan untuk melilit songkok.
"Kita bukan saja perlu bersemangat nak ambil vaksin, bahkan perlu membara untuk sebarkan rasa cinta kepada negara walaupun negara dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
"Saya tidak segan berpakaian begini, lagipun secara tidak langsung dapat sama-sama mengingatkan orang ramai walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, kita tetap sama-sama meriahkan hari kemerdekaan dalam apa jua cara," katanya ketika ditemui.
Ab Rahim yang menetap di Gadek turut dikerumuni para petugas di PPV untuk merakam foto.
Ujar lelaki itu, dengan penampilannya itu sekurang-kurangnya ia dapat membantu meredakan rasa resah dan bimbang para penerima dos vaksin petama.
Malah, katanya pengalaman itu menjadi memori paling manis dalam hidupnya.
Seperti kelaziman, menjelang bulan kemerdekaan Ab Rahim tidak terkecuali menghiasi rumah dengan pelbagai saiz Jalur Gemilang dan bendera negeri bagi merancakkan sambutan pada 31 Ogos.
"Ini yang saya dapat lakukan untuk tunjukkan semangat cintakan negara dan syukur isteri sentiasa menyokong segala minat saya.
"Saya juga berharap mereka yang masih ragu-ragu mendaftar untuk vaksinasi, segeralah berbuat demikian untuk sama-sama mencegah Covid-19," katanya.