SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu menyenaraikan nama-nama ahli yang difikirkan beliau sesuai untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Beliau berbuat demikian selepas kerajaan membuat keputusan untuk menubuhkan MPN yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras MPN.
Dr Mahathir berkata, cadangan MPN ini pertama kali dibentangkannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika beliau menghadap Seri Paduka Baginda pada 10 Jun lalu.
"Cadangan penubuhan MPN timbul kerana rata-rata terdapat sentimen bahawa kerajaan sudah gagal meluas dan krisis semakin bertambah,” katanya.
Beliau juga memikir secara mendalam keahlian badan itu yang diyakini dapat membantu negara mengatasi krisis selain menyediakan rancangan jangka panjang pemulihan ketika memberi cadangan penubuhan MPN berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tegas beliau, keahlian MPN yang ditekankan olehnya mestilah tidak mempunyai ahli politik yang akan mempertimbang kepentingan parti dahulu dan tidak kepada rakyat serta negara.
"Keduanya, ahli-ahli mestilah terdiri daripada pakar, berpengalaman, berupaya menangani krisis serta orang muda yang dinamik memperlihat kesungguhan membantu rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, beberapa ahli politik yang dicadangnya tidak boleh terikat dengan parti mereka.
"Nama-nama yang saya hendak cadang dan kenapa saya cadang mereka adalah seperti berikut: Tan Sri Rafidah Aziz; Tan Sri Mohamed Azman Yahya; Tan Sri Lin See Yan; Profesor Dr Jomo K Sundram dan Tan Sri Mohd Hassan Marican.
"Selain itu, dalam bidang perubatan saya mencadangkan Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman; Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit; Datuk Dr Musa Nordin; Datuk Dr Amar Singh HSS dan Dr Kumitaa Theva Das,” katanya.
Beliau pada masa sama mencadangkan beberapa pakar perundangan iaitu Profesor Emeritus Datuk Shad Faruqi dan Profesor Datuk Dr Salleh Buang bagi memastikan segala tindak-tanduk MPN tidak mencabar kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara.
"Untuk mengatasi masalah pendidikan, saya bercadang memberi penekanan kepada pembelajaran dari rumah dan menggunakan televisyen serta program-program yang dirakam oleh ahli-ahli akademik, guru-guru serta pendidik terbaik supaya ibu bapa muda membantu anak mereka dan ini dapat dirangka oleh YAM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid dan Samuel Isaiah.
‘Saya juga ingin cadangkan beberapa nama ahli politik untuk menyertai MPN dan mereka dipilih bukan kerana politik kepartian tetapi di atas beberapa usaha yang telah mereka lakukan iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said; Hannah Yeoh; Ahmad Fahmi Fadzil dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” kata beliau lagi.
Menurutnya, nama-nama yang disenarai itu dibuat tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.
Dr Mahathir percaya dengan menghadkan keahlian tidak melebihi 20 orang, keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan cepat.
"Cadangan melantik mereka tidak bermakna pegawai-pegawai tinggi kerajaan akan terpinggir.
"Saya cadang supaya Panglima Angkatan Tentera; Ketua Polis Negara; Ketua Pengarah Kesihatan dan kesemua Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian; Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain di Semenanjung dilantik sebagai ex-officio. Mereka ini akan dijemput hadir bila berkaitan dengan peranan mereka,” katanya.