PUNCAK ALAM - Program Breast Cancer Awareness and Fundraising 2018 anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda semester 5 daripada Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan UiTM kampus Puncak Alam telah diadakan Oktober lalu sempena bulan kesedaran kanser payudara.
Program berbentuk kempen kesedaran dan jualan amal ini bertempat di Dewan Kuliah 1 dan kawasan Ruang Legar UiTM kampus Puncak Alam. Ia bertujuan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada Majlis Kanser Nasional serta memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga UiTM kampus Puncak Alam mengenai kanser payudara terutamanya dan juga kanser-kanser yang lain. Di samping itu, ia juga dapat memupuk kemahiran keusahawanan, pengurusan dan kerjasama dalam diri setiap mahasiswa UiTM kampus Puncak Alam.
Breast Cancer Awareness 2018Setelah pemilihan ahli jawatankuasa bagi Program Breast Cancer Awareness and Fundraising 2018, satu mesyuarat permulaan telah dijalankan bagi membincangkan mengenai tarikh, hari, masa dan tempat pelaksanaan program serta menerangkan mengenai skop tugasan setiap biro yang berada dalam jawatankuasa Program Breast Cancer Awareness and Fundraising 2018 serta pembahagian tugas. Beberapa mesyuarat telah diadakan dan kami sebulat suara bersetuju untuk memberi sumbangan berbentuk wang ringgit hasil daripada kutipan jualan amal.
Jualan amal tesebut adalah seperti jualan piza dan preloved items seperti pakaian, tudung dan buku. Program ini juga dijalankan dengan kerjasama daripada pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi memberi ceramah, membuka beberapa reruai pameran dan pemeriksaan payudara. Persatuan pelajar ini juga telah bersepakat untuk menjalankan program ini sepanjang hari Khamis pada bulan Oktober iaitu tempoh 2 minggu diperlukan untuk mengumpulkan barangan preloved daripada pensyarah dan para pelajar UiTM Puncak Alam.
Pada 27 September dan 4 Oktober 2018, dari jam 2 hingga 4 petang semua ahli jawatankuasa yang terlibat telah berpecah kepada empat zon untuk mengumpulkan barangan terpakai daripada para pelajar. Pada 11 dan 18 Oktober 2018, dari jam 11 pagi hingga 3 petang, jualan amal dan piza telah berlangsung di ruang legar UiTM Puncak Alam. Jualan piza sebanyak 300 keping telah habis dijual dalam masa yang singkat.
Para jawatankuasa jualan amal.Pada 25 Oktober pula merupakan hari kemuncak program yang mana kami telah menjemput pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA) untuk memberi ceramah, membuka beberapa gerai pameran dan pemeriksaan payudara secara percuma kepada warga UiTM Puncak Alam. Sambutan juga amat memberangsangkan kerana begitu ramai pelajar yang berminat untuk mendengar ceramah serta membanjiri gerai pameran bagi membuat pemeriksaan payudara dan mendengar penerangan daripada pihak MAKNA mengenai kanser khususnya kanser payudara. Pada masa yang sama, biro program serta ahli jawatankuasa yang lain turut memastikan kelancaran ceramah dan gerai pameran pada hari tersebut.
Jam 4 petang, berakhirnya Program Breast Cancer Awareness and Fundraising 2018 dengan pemberian sumbangan yang merupakan hasil jualan amal program ini kepada pihak MAKNA sebanyak RM2,450.30. Syukur, sedikit sebanyak pengajaran dan pendidikan dapat membuka mata warga UiTM Selangor Kampus Puncak Alam mengenai kesedaran kanser payudara yang kian meningkat terhadap golongan wanita di Malaysia.
Secara keseluruhannya program berjaya menepati objektif iaitu mengumpul dana dan menyalurkannya kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Seterusnya, ia telah memberi informasi dan kesedaran kepada para mahasiswa mengenai kanser payudara. Selain itu, ia juga memupuk sifat simpati dan empati dalam kalangan mahasiswa terhadap golongan yang memerlukan. Selain itu, program ini juga dapat memupuk kemahiran keusahawanan, pengurusan dan kerjasama dalam diri setiap mahasiswa UiTM Kampus Puncak Alam.