KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangannya perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka pada Sabtu mungkin menjadi penyebab baharu merebaknya jangkitan Covid-19.
"Saya bimbang tentang keselamatan mereka (peserta perhimpunan) apabila kumpul beramai-ramai. Kalau salah seorang mereka dapat jangkitan dari jalanan, mereka akan bawa balik Covid-19 bersama mereka ke rumah.
"Mungkin kes akan merebak lagi hasil daripada perhimpunan itu,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil di sini pada Sabtu.
Menurutnya, sebarang perhimpunan sewaktu pandemik Covid-19 adalah tidak dibenarkan dan perhimpunan dalam situasi sekarang adalah salah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mendengar suara dan pandangan daripada semua pihak dan padangan bukan hanya didengar apabila ada protes di jalanan.
Sebelum itu, seramai 400 peserta menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka di sini.
Sementara itu, Ismail Sabri meminta semua ahli politik tanpa mengira parti agar mengetepikan perbalahan politik sementara waktu sebaliknya berganding bahu menyelesaikan isu Covid-19 yang melanda negara.
Beliau berkata, perbalahan politik tidak akan menyelesaikan masalah rakyat dan berkemungkinan boleh menjejaskan apa yang sedang dilakukan kerajaan untuk rakyat.
"Tidak kira parti mana pun, kita sepatutnya fokus kepada isu Covid-19, isu rakyat yang sekarang ini tiada pendapatan. Masalah ini lebih besar sebenarnya daripada apa yang dibisingkan hari ini. Lupakan peperangan dalam politik,” katanya.
Ismail Sabri juga berkata, setakat Jumaat lebih 20 juta individu di seluruh negara telah menerima vaksin Covid-19.
Katanya, 13,500,479 merupakan penerima dos pertama manakala 6,514,070 adalah penerima dos kedua dan beliau yakin imuniti kelompok mampu dicapai menjelang Oktober ini dengan kadar vaksinasi yang dijalankan sekarang.
Mengenai PPV Axiata Arena, Ismail Sabri berkata, PPV itu mampu memberikan 8,000 suntikan vaksin sehari dan kadar suntikan vaksin harian tertinggi yang pernah dicapai PPV itu ialah sebanyak 7,260 suntikan pada 27 Julai lalu.
Setakat ini, sebanyak 143,780 suntikan vaksin telah diberikan di PPV berkenaan sejak dibuka pada 7 Jun lalu. - Bernama