Reezal Merican ucap tahniah kepada Aaron-Wooi Yik

Iklan
Aksi regu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang regu lelaki dari Indonesia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza hari ini. - Foto Bernama

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghadiahkan pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, walaupun tidak berjaya mempertahankan pingat perak yang dimenangi Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016, namun kesungguhan dan semangat juang dipamerkan oleh Aaron-Wooi Yik sepanjang kempen di Tokyo cukup membanggakan.

Iklan
Iklan

"Tahniah Aaron dan Wooi Yik atas kalungan pingat gangsa. Alhamdulillah. Rezeki hari kesembilan temasya ini akhirnya menghadirkan pingat pertama buat negara.

"Saya dapat lihat tadi kesungguhan Aaron dan Wooi Yik dengan aksi persembahan yang cukup bertenaga. Saya tahu bukan mudah untuk berhadapan dengan lawan berpengalaman lebih-lebih lagi ini adalah penampilan pertama pasangan negara ini ke Olimpik.

Iklan

"Pastinya seluruh rakyat Malaysia bergembira dan berbangga dengan kejayaan ini. Tahniah Aaron-Wooi Yik. Teruskan usaha. Jadikan kejayaan ini sebagai pembakar untuk mencipta lebih banyak kegemilangan #DemiMalaysia,” demikian reaksinya di Facebook.

Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa selepas menewaskan pasangan nombor dua dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam itu.

Iklan

Reezal Merican turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih mereka Flandy Limpele yang menabur bakti melatih beregu mencapai tahap meraih pingat Olimpik dalam penampilan pertama, selain mendoakan kejayaan buat barisan atlet negara yang masih meneruskan perjuangan di Tokyo. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Aaron-Wooi Yik menang gangsa