SHAH ALAM - Akta Pendanaan Politik perlu diperkenalkan segera bagi mengawal hubungan antara sektor perniagaan dan politik yang dilihat menjadi antara punca berlakunya budaya rasuah yang berleluasa dalam negara.
Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Edmund Terence Gomez berkata, hubungan antara perniagaan dan politik yang tidak terkawal melalui kaedah perlindungan (patronage) juga menyebabkan berlakunya peningkatan pendanaan dalam sistem politik negara.
Menurutnya, pendanaan politik yang tidak telus dan terkawal dilihat menjadi faktor utama menyebabkan rasuah masih terus berlaku meskipun pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menangani masalah tersebut.
"Kita mesti membincangkan mengenai pendanaan politik. Siapa yang mendana sistem politik negara?
"Ini adalah isu penting yang kita masih belum tangani. Kita mesti memiliki sistem pendanaan yang telus dan bertanggungjawab bagi sistem politik negara.
"Kita mesti memastikan pendanaan parti politik di negara kita diuruskan dengan baik untuk membolehkan mereka melakukan gerak kerja,” katanya ketika menjadi panelis di simposium bertajuk, Corruption development: Can We Be Clean yang diadakan secara maya pada Sabtu.
Simposium yang memilih Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel sebagai moderator dianjurkan oleh Malaysian Universities Economics Conference (MUEC) dengan kerjasama Rasuah Busters dan Universiti Malaya.
Panelis lain terdiri daripada ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan ahli pasukan teras Rasuah Busters, Dr G Manimaran.
Beliau berkata, penglibatan sektor perniagaan dalam sistem politik di Malaysia juga dilihat melalui beberapa kes mahkamah melibatkan ahli politik negara.
"Kita boleh lihat sumbangan besar telah diberikan kepada ahli politik dengan kaedah yang kita baru tahu iaitu melalui pertubuhan yayasan. Ia secara terus disalurkan kepada akaun ahli politik tersebut.
"Sebagai pulangan, terdapat dakwaan yang mengatakan mereka (perniagaan) menerima kontrak melalui kerajaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Edmund berkata, kejayaan menangani rasuah memerlukan usaha untuk mereformasi beberapa institusi politik negara termasuklah bidang kuasa Perdana Menteri.
"Negara sebelum ini pernah melakukan reformasi terhadap tadbir urus korporat yang disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia. Tetapi rasuah tetap tidak berjaya dihentikan kerana reformasi yang dilakukan itu tidak meliputi sektor politik.
"Malah, kita lihat lebih banyak kuasa diberikan kepada Perdana Menteri yang telah disalahgunakan dengan begitu teruk,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya kesemua isu itu jika tidak ditangani pada kadar segera, ia dikhuatiri akan menjerumuskan negara kepada masalah rasuah yang serius dan membantutkan kemajuan negara.