Tidak sesuai beri gelaran hero kepada menteri, ahli Parlimen

Iklan
Mujibu Abd Muis

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat bahawa tidak sesuai untuk memberikan gelaran hero kepada menteri atau ahli Parlimen kerana masing-masing wajib melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, dalam keadaan sekarang, masyarakat tidak melihat atau mencari hero kerana yang dicari adalah seorang tokoh boleh bertindak sebagai pejuang dan pelindung kepada mereka.

Iklan
Iklan

Tambah beliau, konsep nilai atau pembentukan hero itu boleh melahirkan satu kesedaran palsu.

"Selalunya hero ini dikaitkan dengan unsur-unsur tidak kritis yang mana ia cenderung untuk memuji dan memuja pemimpin sehingga membawa kepada satu ketaatan yang membuta tuli malah tidak pernah ada perbahasan terbuka mengenai kelemahan pemimpin.

Iklan

"Justeru, jika perkara ini berterusan, maka ia membentuk satu konstruksi sosial atau manipulasi di mana akhirnya konsep hero ini dijadikan sebagai satu keterikatan yang menjumudkan pemikiran seseorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis di program Wacana Sinar edisi khas 15 tahun Sinar Harian bertajuk ‘Siapa ‘Hero’ Rakyat?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Program dikendalikan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sebagai panelis jemputan.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, sebagai wakil rakyat yang diamanahkan untuk membantu rakyat, maka tidak timbul soal menjadi hero atau sebaliknya.

"Persoalan ini harus berbalik kepada membantu rakyat. Kita faham perjalanan demokrasi yang mana Parlimen harus dibuka, ada semak dan imbang (check and balance). Namun, rakyat tidak melihat itu sebagai kepentingan kepada mereka.

"Memang benar ahli politik mengeluarkan pandangan mengenai idea moratorium dan sebagainya, tetapi mengapa pihak kerajaan setelah didesak baru mahu mengambil tindakan,” katanya.