SEMENYIH - Lima buah rumah kebajikan warga emas di negeri Selangor hari ini menerima sumbangan zakat berjumlah RM467,750 berupa set peralatan fisioterapi.
Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan itu diberikan atas kesedaran faktor gaya hidup kurang aktif seseorang individu berkenaan, sebelum bergelar warga emas berusia 60 tahun ke atas.
"Secara realitinya di Selangor sukar untuk nampak aktiviti bercucuk tanam, masuk hutan, pergi memburu dan sebagainya.
"Ini menyebabkan mereka berhadapan corak hidup berisiko, dengan hanya bersandarkan teknologi sekali gus menyebabkan tubuh badan serta otot mereka mula lemah, sementara fisioterapi ini dapat mencegahnya daripada berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di sini.
Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan termasuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, dengan masing-masing menerima set peralatan fisioterapi bernilai RM93,550, yang akan dimanfaatkan kira-kira 300 penghuni pusat kebajikan itu secara keseluruhan.
Sementara itu, seorang penghuni rumah kebajikan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Musa Abu Bakar, 67, berkata beliau gembira dengan sumbangan LZS.
Ditambah lagi dengan keadaan tulang dan saraf kaki sebelah kanannya yang bermasalah, selepas terlibat kemalangan motosikal minggu lalu.
Beliau berharap bantuan alat fisioterapi itu dapat mempercepatkan proses pemulihan kaki. - Bernama