SITIAWAN - Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya sebelum diseret sebuah lori tangki membawa muatan simen di KM5 Jalan Sitiawan - Teluk Intan, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Eu Hea Nee, 47, berasal dari Kampung Koh dikatakan sedang menunggang motosikal dari arah Lekir menuju ke Sitiawan sebelum terjatuh kira-kira jam 12.45 tengah hari di Pekan Kampung Koh.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang sebelah kiri dari arah Kampung Koh untuk melintas ke kanan jalan.
"Akibat jarak terlalu dekat, lori berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa menyebabkan dia cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Punca kemalangan disebabkan kecuaian penunggang motosikal ketika keluar simpang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Husni Sawal Ismail ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 12.45 tengah hari.
"Setibanya dilokasi anggota mendapati seorang wanita berada di bawah lori bersama motosikal yang ditungangnya dan segera melakukan operasi mengeluarkan wanita berkenaan.
"Kita terpaksa mengangkat lori tangki tersebut menggunakan peralatan khas RTA kerana mangsa berada di bawah motor yang diseret lori berkenaan dan operasi tamat pada jam 1.31 petang," katanya.