BEKAS Pengurus Pasukan Perak FC II, Azman Noh dilantik sebagai Pengurus Besar Perak FC berkuat kuasa 1 Ogos 2021.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, lantikan tersebut yang dibuat Ahli Lembaga Pengarah Perak FC itu akan mengambil alih tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini.
Menurutnya, segala urusan mengenai Perak FC akan diambil sepenuhnya oleh Azman dengan dibantu pihak pengurusan Perak FC yang lain.
"Kita mengambil contoh Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan kerana mereka tiada CEO tetapi ada pengurus besar untuk uruskan perkara ini sekali gus membantu menjalankan tanggungjawab seperti mana CEO.
"Kita memang sentiasa cari formula terbaik untuk Perak FC, tapi tak jumpa lagi. Saya akui kami masih gagal cari penaja untuk uruskan Perak FC," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini pada Ahad.
Mengenai prestasi Perak FC yang semakin merosot dalam tiga perlawanan sebelum ini, Khairul Shahril menyerahkan sepenuhnya kepada Azman untuk menentukan sebarang perubahan di dalam pasukan.
Menurutnya, Azman telah diarahkan untuk memperhalusi sebarang usaha yang boleh dilakukan bagi membantu meningkatkan prestasi pasukan.
"Dalam perancangan awal kita memang akui berdepan cabaran jumpa Terengganu dan JDT tapi rasa agak kecewa apabila seri bertemu KL yang sepatutnya kita boleh menang.
"Kita harap perlawanan akan datang akan beri keputusan yang lebih baik," katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.
Dalam pada itu, Khairul Shahril tetap optimis Perak FC akan kekal dalam saingan Liga Super Malaysia musim depan biarpun prestasi kurang memberangsangkan ketika ini.
Azman sebelum ini dilantik sebagai Pengurus Perak FC II namum meletakkan jawatan pada 1 Jun lalu dan namanya turut didaftarkan oleh pasukan Manjung City FC sebagai pengurus dalam saingan Liga M3.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Manjung dilantik sebagai pengurus Perak II pada 1 Mei lalu.
Pasukan Perak FC mencatatkan dua kekalahan memalukan di tangan Terengganu FC dan JDT apabila diaibkan 5-0 selain seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur pada tiga perlawanan sebelum ini.