HARAPAN untuk menyaksikan tambahan pingat pada acara final tiga meter papan anjal (wanita) pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, tidak kesampaian apabila atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri sekadar menamatkan acara pada kedudukan keempat.
Setelah lima terjunan, atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu sekadar mengumpul 326.15 mata di belakang atlet terjun Amerika Syarikat (AS), Krysta Palmer yang mencatatkan 343.75 mata bagi meraih gangsa.
Atlet terjun China, Shi Tingmao menepati ramalan untuk meraih emas bagi acara berkenaan setelah mencatatkan 383.50 mata, manakala rakan senegara, Wan Han meraih perak dengan catatan 348.75 mata.