Imunisasi kelompok di Kota Setar dapat dicapai sebelum akhir tahun

Iklan
Pengarah Task Force Imunisasi Covid-19 (CITF) Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman (kanan) ketika hadir pada Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada kanak-kanak kawasan Kota Sarang Semut, di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Ji Yan Ge, di sini, pada Sabtu.

ALOR SETAR - Dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini berupaya memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 1,000 penduduk dalam tempoh satu hari.

Pengarah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, dua PPV itu adalah PPV Stadium Suka Menanti dan PPV Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kota Setar berkata, PPV Stadium Suka Menanti dilihat mampu mengurus antara 1,600 hingga 1,700 individu disuntik, manakala PPV Dewan KDN Anak Bukit maksimum 1,000 individu disuntik sehari.

"Sekarang, PPV Stadium Suka Menanti pun mampu beri suntikan kepada lebih 1,000 sehari namun dengan tenaga kerja yang ada boleh pergi maksimum lebih jauh dari jumlah itu.

Iklan

"Setakat ini, PPV Suka Menanti dan PPV Dewan KDN Anak Bukit kita ada sumber tenaga mencukupi sekiranya lebih banyak bekalan vaksin diterima," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas sama ada PPV di Kota Setar akan menambah petugas sekiranya Kedah menerima vaksin tambahan sehingga 220,000 dos seminggu.

Beliau ditemui pada Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada kanak-kanak kawasan Kota Sarang Semut, di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Ji Yan Ge, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Katanya, pihaknya berpendapat sekiranya PPV di daerah berkenaan boleh bergerak dengan kekuatan penuh dalam sehari 1,000 hingga 2,000 sehari atau sehingga 2,500 sehari maka imunisasi kelompok boleh dicapai sebelum akhir tahun ini.

Pada Rabu, Menteri Besar Kedah mengumumkan Kedah akan menerima vaksin Covid-19 sehingga 220,000 dos seminggu berbanding 130,000 dos seminggu sebelum ini bagi mempercepatkan program vaksinasi dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya sedang berusaha untuk mendaftarkan lebih ramai penduduk yang belum membuat pendaftaran melalui MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin di Kota Setar.

Katanya, antaranya, termasuklah melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) untuk penduduk di luar bandar seperti mana dilaksanakan di Kampung Padang Hassan mukim Lengkuas.

"Kita dapati program sedemikian amat berkesan untuk meningkatkan kadar vaksinasi, yang mana individu tidak mahu atau ragu-ragu mendaftar mula berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin,"katanya.

Sehubungan itu, katanya, CITF Kota Setar mengambil inisiatif melaksanakan program Outreach CITF daerah di mukim Bukit Pinang melibatkan 300 penduduk pada pertengahan Ogos bagi membantu meningkatkan suntikan vaksin di daerah ini," katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya menyambut baik program bakul makanan dilaksanakan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada kanak-kanak berbilang bangsa yang memerlukan di daerah itu.

"Saya rasa bagus kerana ia melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti Fungates Superflow Foundation, Lions Club of Alor Setar Central, Pasukan Pelindungan Kanak-kanak daerah Kota Setar dan Pasukan Kebajikan Kanak-kanak.

"Antara pihak lain turut terlibat termasuklah Penasihat Mahkamah bagi kanak-kanak Alor Setar, Balai Polis Kota Sarang Semut, Raudhatul Ain Charity Programme (RACP) dan Persatuan Pendidikan Akhlak Ji Yan Ge," katanya.

Sementara itu, pengarah program merangkap Setiausaha Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Alor Setar, Mohd Shukor Saleh berkata, seramai 100 kanak-kanak menerima sumbangan bakul makanan itu.

Katanya, bakul makanan berkenaan mengandungi barangan keperluan dan barangan basah untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup ketika pandemik Covid-19.