SHAH ALAM - Kemunculan fahaman liberal atas nama kebebasan dan hak asasi antara faktor yang menjadi punca runtuhnya jati diri dan institusi kekeluargaan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kewujudan idealogi tersebut telah merosakkan banyak sifat baik manusia.
"Kita baru sahaja menyaksikan bagaimana cara samseng digunakan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang dianggap sebagai model demokrasi paling maju di Barat.
"Sikap 'double standard' mereka bukan saja terhadap umat Islam bahkan rakyat mereka juga menjadi mangsa penyelewengan demokrasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Beliau berpendapat, negara Islam yang meneruskan warisan para penjajah ini berdepan masalah sama, sekali gus menyebabkan negara tidak membangun menjadi sebuah negara yang maju dan kuat.
Jelasnya, oleh kerana Barat tidak mampu memurtadkan umat Islam secara menyeluruh, mereka mengubah strategi dengan cara sekularisme.
"Antara konsep sekularisme secara halus termasuklah memberi kuasa pentadbiran negara kepada individu yang dilantik oleh penjajah. Melalui cara ini mereka menjajah pemikiran masyarakat Islam.
"Melalui cara ini mereka menjajah pemikiran masyarakat Islam, begitu juga aspek pentadbiran, pelajaran, pendidikan dan media,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu menyeru, sudah tiba masanya untuk umat Islam kembali ke pangkal jalan dengan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna.
Islam, kata beliau telah terbukti kejayaannya apabila manusia berpegang teguh kepada syariatnya.