KANGAR - Peningkatan kes positif Covid-19 di Perlis adalah berpunca daripada aktiviti merentas negeri oleh individu tertentu, termasuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja dengan merentas negeri setiap hari.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, berdasarkan data daripada Jabatan Kesihatan Perlis (JKP) menunjukkan sebahagian besar kes positif adalah berkaitan dengan aktiviti berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun, individu yang merentas negeri terbabit memiliki surat kebenaran daripada pihak berkuasa.
"Ada dalam kalangan mereka tinggal di Perlis, sama ada bekerja dengan kerajaan atau swasta. Ada juga yang tinggal di luar Perlis, tetapi kerja di Perlis dan terpaksa rentas negeri.
Selain tu, ada yang menziarahi kematian atau rentas negeri kerana alasan kesihatan seperti bersalin,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Ahad.
Pada Sabtu, kes baharu positif Covid-19 adalah sebanyak 16 kes menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak 704 kes. Sebelum ini, Perlis pernah merekodkan sifar kes baharu Covid-19.
Azlan turut mengingatkan penerima lengkap dua dos vaksin turut berpotensi menyebarkan virus Covid-19 walaupun kurang berisiko untuk mendapat jangkitan ke atas diri sendiri kerana telah diberikan imuniti diri.
"Dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang, saya akan cuba syorkan supaya aktiviti rentas negeri yang melibatkan tenaga kerja sama ada kerajaan atau swasta, serta aktiviti ziarah tidak dibenarkan atau dihadkan. Namun ia tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan MKN,” katanya.
Mengulas lanjut, Azlan berkata, setakat ini, Perlis sudah memenuhi ketiga-tiga syarat ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi melayakkan negeri itu beralih ke fasa tiga.
"Berdasarkan jumlah kes harian per 100,000 orang, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi dua dos kalangan orang dewasa, Perlis sudah pun layak ke fasa tiga. Saya akan bangkitkan perkara ini di Mesyuarat Khas MKN untuk keputusan kelak,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan penduduk Bukit Malut, Langkawi mencari perlindungan di Kuala Perlis setelah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut, Azlan beranggapan situasi itu tidak mustahil boleh berlaku.
"Ada dakwaan tular, dikatakan mereka meloloskan diri melalui jalan laut dengan bot ikan ke Kuala Perlis. Jika disahkan berlaku dan ada individu berkenaan dilihat di tempat-tempat tertentu, saya harap orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, namun sehingga kini belum ada kes positif di Kuala Perlis yang berpunca dari Bukit Malut.
"Saya dimaklumkan pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mula mengawal jalan raya dan laluan laut untuk elakkan penduduk Bukit Malut bolos ke Perlis. Sama-samalah kita berikan kerjasama,” katanya.
Pada masa sama, Azlan meminta rakyat Perlis supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat.
"Kerajaan negeri akan teruskan usaha vaksinasi yang kini telah meningkat lebih 3,000 dos sehari. Namun kerjasama erat dan sokongan daripada semua pihak, iaitu kerajaan, pihak swasta, NGO dan rakyat amat penting untuk memerangi Covid-19,” katanya.