SHAH ALAM - Biarpun sesi terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain, ada dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang tetap akan hadir ke Parlimen.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kehadiran ke Dewan Rakyat bertujuan untuk menunjukkan bahawa penangguhan berkenaan sebagai satu tindakan menghalang mereka daripada menjalankan tugas.
"Melihat bagaimana persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan beberapa kali pada Khamis lalu, kami sudah menjangkakan lebih awal bahawa persidangan pada Isnin ini (esok) juga akan diusahakan untuk dibatalkan.
"Disebabkan itu, kami telah membuat keputusan untuk tetap hadir ke Parlimen pada Isnin ini walau apa pun terjadi dan ternyata telahan kami itu benar,” katanya pada Ahad.
Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, permakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan Covid-19.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, terdapat beberapa keraguan berhubung kenyataan penangguhan sidang Parlimen tersebut lebih-lebih lagi melibatkan Peraturan Mesyuarat diguna pakai perdana menteri.
"Perkara 11 dalam Peraturan Mesyuarat seperti dinyatakan itu bukanlah berkaitan penangguhan sebaliknya melibatkan hal untuk mengawalkan mesyuarat.
"Selain itu, Setiausaha Dewan Rakyat turut memaklumkan bahawa beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan tersebut kepada ahli Parlimen,” katanya.
Mahfuz turut mendakwa penangguhan persidangan Dewan Rakyat dilakukan kerana Muhyiddin tidak yakin memiliki sokongan mencukupi untuk membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.
"Kalau Muhyiddin betul-betul yakin memiliki sokongan, beliau sepatutnya membawa usul undi percaya terhadap dirinya di Dewan Rakyat esok dan bukan menangguhkannya,” katanya
Sementara itu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau tetap hadir ke Parlimen.
"Esok (Isnin) saya tetap akan ke Parlimen kerana itu tugas saya. Nak halang tugas saya, halanglah," katanya.