SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengambil tindakan segera berhubung isu pembakaran terbuka yang berlaku di tebing sungai berdekatan Pangsapuri Damai, Seksyen 25, Taman Sri Muda seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.
Setiausaha Akhbarnya, Fareed Ashaaree ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, beliau diminta oleh Amirudin untuk berhubung terus dengan pihak JPS bagi memaklumkan perkara tersebut.
"Saya dah hubungi pihak JPS hari ini kerana menteri besar mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin demi keselesaan penduduk sekitar.
"Maklum balas diterima daripada JPS juga positif, mereka memberitahu akan menyiasat perkara tersebut," katanya.
Amirudin menerusi ciapan di Twitter pagi tadi memberi respon kepada seorang penduduk di pangsapuri berkenaan mengatakan beliau sudah meminta pegawainya untuk berhubung dengan JPS bagi tindakan lanjut.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penduduk di pangsapuri terbabit menggesa tindakan segera diambil pihak berkaitan ekoran sudah tidak tahan dengan bau busuk yang dikeluarkan akibat pembakaran terbuka yang berlaku sejak lebih setahun lalu.
Rata-rata penduduk mengadu kerap mengalami masalah kesihatan seperti batuk berpanjangan dan demam akibat terhidu asap berkenaan.
Malah, penduduk juga nekad untuk berpindah jika masalah itu tidak diselesaikan dalam masa terdekat.