PENAMPANG - Tiga daripada empat tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), berjaya ditahan semula di Lorong Wijaya 1, Taman Wijaya, Menggatal, Kota Kinabalu.
Tiga lelaki itu ditahan pada jam 5.45 petang Ahad iaitu kira-kira 14 jam selepas melarikan diri dari pusat kuarantin itu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tiga yang ditahan adalah Arripian Abdul, 27, Mohd Diyazmir Razif Rudyaz, 20, dan Salman Arip, 19.
Katanya, seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu Mohd Rahman Basir, 24, sedang giat diburu pasukan polis.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan dibantu IPD Kota Kinabalu serta Ketua Balai Polis Manggatal.
"Pihak polis sedang giat memburu seorang lagi tahanan yang masih bebas,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Mohd Haris berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih diburu diminta segera menghubungi bilik gerakan IPD Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi Ahad, keempat-empat tahanan yang disahkan positif Covid-19 melarikan diri dari pusat berkenaan.
Gerakan memburu semua tahanan segera dilakukan sebelum penduduk memaklumkan menemui dua seluar lokap yang ditinggalkan di Kampung Bambangan, Inanam.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk temui seluar lokap tahanan positif Covid-19
Polis buru 4 tahanan positif Covid-19 lari dari pusat kuarantin