Tatmadaw janji dua tahun lagi

Iklan
Sebelum ini, Aung Hlaing berjanji untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh 12 bulan. - Foto Agensi

YANGON - Pilihan raya akan diadakan dalam tempoh dua tahun dan perintah darurat akan ditarik balik pada Ogos 2023.

Janji itu dizahirkan Ketua Pemerintah Junta Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing pada Ahad sekali gus melanjutkan tempoh masa asal yang diberikan ketika angkatan tentera (Tatmadaw) menggulingkan pemerintahan awam yang sah pada Februari lalu.

Iklan
Iklan

"Saya berikrar untuk mengadakan pemilihan disertai pelbagai parti tanpa gagal," ujarnya.

Pengumuman itu akan meletakkan Myanmar di bawah cengkaman pemerintah junta tentera selama hampir dua tahun setengah berbanding 12 bulan yang diumumkan kira-kira enam bulan lalu.

Iklan

Keputusan itu dibuat setelah ia membatalkan keputusan pilihan raya yang menyaksikan kemenangan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi selepas mendakwa ia menemui lebih 11 juta bukti berlaku penipuan undi.

Beberapa pihak percaya, pemerintah junta bimbang pengaruh NLD akan terus meningkat susulan peningkatan sokongan pada Pilihan Raya Umum 2020 berbanding pemilihan pada tahun 2015.

Iklan

Sebelum ini, kumpulan pemerhati Asian Network for Free Elections memaklumkan pemilihan itu secara umumnya mewakili kehendak rakyat.

Di seluruh negara, kumpulan kecil penunjuk perasaan dilaporkan berarak sambil melaungkan slogan memperingati tempoh enam bulan rampasan kuasa yang menyebabkan negara itu kini terjerumus dalam konflik di tengah-tengah ancaman pandemik Covid-19 yang masih tinggi.

Ketika ini, siri sekatan dikenakan ke atas pemerintah junta tentera bagi mendesak ia menghentikan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan selain membebaskan pemimpin awam.

Pada April lalu, pemimpin ASEAN turut meminta wakil khas dari rantau itu untuk berkunjung ke Myanmar.

Kira-kira empat bulan kemudian, Aung Hlaing akhirnya mengumumkan pemilihan bekas Timbalan Menteri Luar Thailand, Virasakdi Futrakul untuk menggalas tanggungjawab itu dan mengesahkan pemerintah junta kini bersedia untuk bekerjasama dengan ASEAN.

Tatmadaw dikatakan telah sekian lama menjalinkan hubungan rapat dengan angkatan tentera di Thailand yang turut mempunyai rekod melancarkan lebih 12 rampasan kuasa sejak sistem pemerintahan kuku mutlak berakhir pada 1932. - AFP