Tiada pingat kedua buat Malaysia hari ke-10

Iklan
Tiada kilauan pingat kedua buat kontinjen Malaysia pada hari ke-10 temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ahad. - Foto AFP

TIADA kilauan pingat kedua buat kontinjen Malaysia pada hari ke-10 temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ahad, selepas penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan cabaran di tempat keempat di Pusat Akuatik Tokyo.

Nur Dhabitah terpaksa akur di kedudukan keempat saingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita individu setelah mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.

Iklan
Iklan

Juara bertahan dari China Shi Tingmao, yang mengumpul 383.50 mata memenangi pingat emas, manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih perak setelah mengutip 348.75 mata, sementara pingat gangsa milik Krysta Palmer setelah penerjun Amerika Syarikat itu mencatat 343.75 mata.

Namun, biarpun terlepas peluang menyumbangkan pingat kedua kepada Malaysia hari ini, aksi Nur Dhabitah mencuri tumpuan rakyat Malaysia sehingga menjadi ‘trending’ di media sosial, apabila penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa mengukir senyuman ketika melakukan terjunan.

Iklan

Ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa senyum ketika melakukan terjunan, Nur Dhabitah berkata beliau benar-benar menikmati sepenuhnya suasana saingan hari ini, apatah lagi dapat beraksi di pentas akhir.

Di Enoshima Yacht Harbour, kerosakan pada sistem layar ‘spinnaker’ atau layar ketiga bot menjejaskan saingan hari keempat Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dalam acara International 470 Wanita pada Ahad.

Iklan

Situasi tersebut menyebabkan Nuraisyah dan Juni gagal menamatkan perlumbaan kelapan.

Gandingan negara itu menamatkan saingan di tempat ke-20 pada perlumbaan ketujuh awal pada Ahad menyaksikan gandingan Hannah Mills-Eilidh McIntyre dari Great Britain mengungguli saingan tersebut.

Selepas lapan perlumbaan, Nuraisyah-Juni berada di kedudukan ke-20 daripada 21 pelayar secara keseluruhan, dengan 130 mata bersih manakala Hannah-Eilidh mendahului carta dengan catatan 18 mata bersih.

Perlumbaan kesembilan dan ke-10 akan bersambung pada Isnin.

Sementara itu, pemain golf negara Gavin Green gagal memperbaiki pencapaiannya pada edisi lepas, apabila menamatkan cabaran pada Sukan Olimpik Tokyo dengan berkongsi kedudukan ke-57, selepas mencatat keseluruhan empat atas par 288 dalam saingan empat pusingan itu.

Pemain berusia 27 tahun itu mencatat 74-72-70-72 untuk berkongsi kedudukan dengan atlet Puerto Rico Rafael Campos (73-73-70-72), daripada 60 pemain yang bertanding dalam acara tersebut.

Juara empat kali Jelajah Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA) Xander Schauffele dari Amerika Syarikat, meraih pingat emas selepas mencatat 18 bawah par 266.

Pada temasya edisi Rio 2016, Gavin menamatkan saingan di tempat ke-47 selepas acara berkenaan kembali dipertandingkan di pentas Olimpik selepas tempoh 112 tahun.

Berikutan berakhirnya acara lelaki individu, pemain golf wanita utama negara Kelly Tan akan memulakan aksi dalam acara wanita individu pada Rabu depan.

Semalam, pasangan Aaron Chia-Wooi Yik menyumbangkan pingat gangsa yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, apabila menumpaskan beregu Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Musashino Forest Sport Plaza. - Bernama