Program Sembang-sembang ASNB kongsi panduan urus wang

Iklan
Mohammad Hussin

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) menerbitkan sebuah program 10 minit bertajuk ‘Sembang-sembang ASNB’ bagi bertujuan mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan dengan lebih baik.

Program di bawah inisiatif Literasi Kewangan ASNB itu juga akan menyiarkan sebanyak 12 episod menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai Isnin dengan menampilkan ahli panel jemputan dari industri kewangan, pelaburan dan industri berkaitan.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, penganjuran program berkenaan bakal menarik lebih ramai lagi rakyat untuk belajar tentang ilmu perancangan kewangan.

"Berdasarkan pengalaman kami ketika menganjurkan seminar dan bertemu orang ramai dalam pelbagai program anjuran ASNB sebelum ini, maklum balas yang kami terima ialah kurangnya maklumat mengenai pengurusan wang dan pelaburan untuk membantu mereka mengurus wang dengan lebih baik.

Iklan

"Justeru, menerusi Sembang-sembang ASNB, orang ramai akan mendapat sedikit panduan bagaimana mereka boleh mengurus wang dan pelaburan dengan lebih berkesan untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, pihak akan mengutamakan pendidikan pelaburan untuk membantu individu membina perancangan kewangan lebih baik.

Iklan

Menurut beliau, kegagalan memahami perkara asas mengenai pelaburan boleh menyebabkan ramai yang hidup dalam hutang selain tidak mempunyai harta atau masih perlu bekerja selepas bersara.

"Sebagai contoh, masih ramai yang tidak faham mengenai asas risiko dan pulangan sehingga menyebabkan mereka mudah melabur dalam pelbagai jenis skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa menyedari bahawa mereka juga perlu menanggung risiko yang tinggi.

"Terlalu banyak skim pelaburan mempromosikan pulangan tinggi tetapi maklumat risiko yang perlu ditanggung tidak didedahkan sepenuhnya,” ujar Mohammad.

Program Sembang-sembang ASNB akan berlangsung pada jam 1.45 tengah hari setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu, manakala siaran ulangan akan disiarkan di TV Okey bermula 13 Ogos, setiap Jumaat hingga Ahad jam 2.15 petang.

Program itu juga akan dimuat naik di platform Facebook dan YouTube Sembang-sembang ASNB serta laman web ASNB pada Khamis bermula Khamis ini.

Selain Sembang-sembang ASNB, ASNB turut menganjurkan pelbagai lagi program dan acara lain untuk semua peringkat umur dan lapisan masyarakat, antaranya Minggu Saham Digital, Seminar Pelaburan 360 Hari, Kuiz Pelaburan PNB, Kelab Pelaburan Bijak PNB dan webinar Sembang-sembang ASNB.