SMART SBB padi wangi di IADA Seberang Perak

Iklan
Ronald (kiri) bersama Che Abdullah bersama jentuai yang digunakan untuk menuai hasil padi wangi MRQ76 yang diusahakan menerusi program SMART SBB di IADA Seberang Perak, di sini pada Sabtu

PASIR SALAK - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan inisiatif program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) melibatkan seluas 140 hektar sawah padi di kawasan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Inisiatif berkenaan yang digerakkan salah satu syarikat peneraju FGV Integrated Farming Holdings Bhd akan memfokuskan kepada penanaman padi wangi MRQ76 keluaran Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama dan FELCRA Plantation Services Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha tersebut sebagai langkah mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak 75 peratus.

Ronald (kiri) turut memandu jentuai bagi menuai padi wangi MRQ76 yang diusahakan menerusi SMART SBB di IADA Seberang Perak pada Sabtu.

Menurutnya, SMART SBB merupakan inisiatif MAFI dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak melalui satu sistem pengurusan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.

Iklan

"Program tersebut menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 tan metrik pada tahun 2019 kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh RMK12.

"Program ini tidak membabitkan sebarang tambahan kos kepada kerajaan malah kesemua syarikat peneraju akan menanggung sepenuhnya kos terlibat. Program ini juga akan turut menggunakan pelbagai kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta ekonomi berskala dalam penanaman padi untuk meningkatkan hasil per hektar,” katanya kepada pemberita semasa meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah SMART SBB di IADA Seberang Perak pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI l, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri MAFI ll, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Ronald (dua dari kanan) menunjukkan padi wangi MRQ76 yang ditanam di IADA Seberang Perak.

Ronald berkata, antara teknologi yang diterapkan adalah penggunaan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan dan penyemburan input pertanian seperti baja dan racun.

"Ini dapat mengurangkan kos penanaman di samping meningkatkan produktiviti hasil pertanian padi.

"Selain itu, ia juga mampu meningkatkan pendapatan pesawah susulan pengurangan penglibatan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara yang dapat dimanfaatkan terus oleh pesawah yang menjadi matlamat utama SMART SBB dilaksanakan,” katanya.

Ronald berkata, terdapat tiga entiti yang akan terlibat secara langsung melalui program tersebut dengan MAFI iaitu pesawah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan syarikat peneraju.

Menurutnya, setakat ini terdapat 11 syarikat peneraju telah memberi komitmen untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan SMART SBB yang kesemua syarikat terlibat berpengalaman luas dan mempunyai rangkaian serta struktur kukuh dalam industri termasuk program-program sedia ada di lapangan bersama pesawah.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini adalah tepat pada masanya memandangkan pelaburan swasta amat penting bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian nilai industri.

Sementara itu, pelaksanaan penanaman padi wangi MRQ76 di kawasan IADA Seberang Perak itu mampu memberikan pulangan tinggi iaitu sebanyak RM1,540 per tan metrik berbanding padi putih yang dijual sebanyak RM1,200 per tan metrik.

Ronald (tengah) bersama Ahmad (kiri) dan Che Abdullah meninjau kawasan penanaman padi wangi.

Ujarnya, FGV Holdings Berhad turut membangunkan sistem Fragrance Rice Fortified Field atau singkatannya 3FR yang direka khusus bagi pesawah-pesawah melalui pertanian kontrak.

"Sistem 3FR ini akan mengintegrasikan aktiviti penanaman padi dengan amalan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil tuaian dan kecekapan produktiviti pesawah.

"Pesawah yang terlibat dalam program SMART SBB bebas menanam mana-mana varieti padi yang dipersetujui bersama syarikat peneraju sama ada padi putih, padi hibrid, padi wangi atau padi organik,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan juga akan meneruskan semua program input dan output pertanian bersubsidi untuk terus menyokong industri padi dan beras termasuk Insentif Benih padi Sah (IBPS), Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

"Pada tahun 2021, MAFI telah diperuntukkan RM1.57 bilion melalui Belanjawan 2021 untuk melaksanakan subsidi berkenaan,” katanya.

Jelasnya, MAFI juga akan memastikan operasi keseluruhan rantaian aktiviti pengeluaran padi dan beras negara tidak terjejas sepanjang pelaksanaan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi industri padi dan beras sekaligus menjamin bekalan dan stok beras dalam negara sepanjang masa.