PENGENDALI Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino tetap menyifatkan pasukannya memperagakan aksi lebih baik daripada Lille walaupun tewas 0-1 dalam aksi Trophee des Champions pada Isnin.
Menurutnya, kegagalan pasukannya menjaringkan gol menjadi punca kekalahan tersebut walaupun secara keseluruhannya pemain telah menunjukkan persembahan yang boleh dibanggakan.
Malah, Pochettino juga turut menyifatkan ketiadaan Neymar dan Kylian Mbappe turut menjejaskan rentak serangan gergasi Perancis itu.
"Saya rasa kami adalah pasukan terbaik di atas padang malam ini. Namun, kami gagal untuk menyudahkan peluang. Dalam bola sepak anda perlu menjaringkan gol untuk menang.
"Namun, ini adalah musim baharu. Saya sangat gembira dengan sikap para pemain dan kami akan bertambah baik jika semua pemain telah menyertai pasukan. Saya tidak pernah ragu-ragu dengan persembahan pemain. Kami mahu menang dan kami telah cuba melakukannya hari ini," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal pemain tengah Lille, Xeka memastikan pasukan itu meraih Trophee des Champions buat kali pertama dalam sejarah mereka selain mengakhiri penguasaan lapan tahun berturut-turut PSG untuk trofi tersebut.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Pochettino dikritik selepas menikmati jendela perpindahan pemain yang produktif dengan membawa masuk pemain berkualiti seperti Gianluigi Donnarumma, Sergio Ramos, Achraf Hakimi dan Georginio Wijnaldum.
Selain Neymar dan Mbappe, Pochettino turut tidak menyenaraikan Donnarumma yang diberikan cuti selepas aksi Euro 2020 dan Ramos yang baru pulih daripada kecederaan.