PASIR PUTEH - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala di hadapan sebuah rumah di Kampung Chengal Batu, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mayat mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian.
"Pihak kami menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada jam 9.30 malam oleh pemilik rumah terbabit," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
Katanya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Beliau berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun sekiranya terdapat unsur lain selepas laporan bedah siasat diperoleh, pihaknya akan membuka kertas siasatan.