SHAH ALAM - Majoriti warga maya bersetuju bahawa pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah tidak layak dicalonkan oleh mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi undian yang dijalankan di Facebook Sinar Harian baru-baru ini, sebanyak 80 peratus daripada warga maya memilih untuk bersetuju dengan perkara itu, sementara 20 peratus lagi tidak bersetuju.
"Bukan sahaja terpalit rasuah, yang ada rekod jenayah, penderhaka tidak layak langsung bertanding. Kalau boleh yang langsung tiada isu skandal," kata Gaddafi Razali yang menulis di ruangan komen.
Sementara itu, Pathma Nathan Subramanian pula berpandangan, semua ahli politik yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa tidak layak bertanding dalam PRU15.
"Pada masa yang sama hadkan umur ahli politik yang mahu bertanding tidak melebihi 75 tahun," tulisnya.
Dalam pada itu, Harizza Ina menegaskan, pemimpin politik yang terlibat dengan rasuah bakal menghancurkan agama, bangsa dan negara.
"Sememangnya mereka-mereka yang terpalit dengan rasuah dan penderhakaan tidak layak dipilih sebagai calon. Mereka ini pasti akan membawa kepada penderitaan dan kesengsaraan rakyat," tegasnya.
Dalam pada itu undian di akaun Instagram Sinar Harian mendapati lebih ramai individu yang bersetuju bahawa pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah tidak layak dicalonkan pada PRU15.
Sebanyak 86 peratus pengundi bersetuju, sementara hanya 14 peratus yang tidak bersetuju.
"Saya setuju cadangan ini, siapa-siapa pemimpin yang terpalit dengan gejala rasuah jangan dicalonkan pada pilihan raya," komen mudin.din.1276.
Napismat pula berpandangan, pendirian itu akan membersihkan Malaysia daripada pemimpin yang mengamalkan rasuah.
"Sangat setuju. Malaysiaku Bersih dan Berintegriti," komennya.
Ramleariffin pula berkata, beliau sangat setuju pemimpin yang terpalit isu rasuah tidak layak bertanding dalam pilihan raya kerana golongan itu disifatkannya sebagai barah dalam masyarakat.
Sebelum ini terdapat beberapa cadangan berhubung perkara tersebut, antaranya tokoh politik veteran, Tan Sri Rafidah Aziz yang menggesa supaya mana-mana pemimpin politik yang terpalit dalam kes rasuah atau sedang dibicarakan di mahkamah supaya mengundurkan diri secara sukarela daripada terus menawarkan diri sebagai calon PRU15 nanti.
Beliau berkata, ia adalah soal integriti yang tidak harus dipandang ringan oleh sesiapa pun.
Dalam pada itu, terdapat tiga syor sekiranya mahu menghalang pemimpin politik yang terbabit rasuah atau sedang dibicarakan di mahkamah bertanding PRU15 iaitu meminda Perlembagaan, pindaan undang-undang sedia ada atau membuat satu undang-undang baharu.