Polis Johor tumpaskan empat sindiket judi dalam talian

Iklan
Ayob Khan (kanan) memberi penerangan berkaitan operasi judi dalam talian yang ditumpaskan menerusi Op Dadu.

JOHOR BAHRU - Empat sindiket judi dalam talian terbesar di negeri ini berjaya ditumpaskan polis Johor menerusi Op Dadu khas secara besar-besaran bermula 15 Julai hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi operasi terbabit sebanyak 90 premis judi dalam talian diserbu membabitkan 14 daerah di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Ketika serbuan dilakukan, polis mendapati modus operandi kegiatan judi dalam talian ini berubah-ubah. Sebelum serbuan, mereka ini berada di dalam satu premis di mana pemain akan turut berada di situ.

"Tetapi sewaktu serbuan dilakukan, pemain didapati berada di luar premis. Yang terbaharu, kita dapati mereka yang hendak tambah nilai judi berada di tempat lain. Taktik mereka ini berubah-ubah supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor Bahru pada Isnin.

Iklan

Ayob Khan berkata, pihaknya turut menahan seramai 99 penjaga dan sembilan pemain berusia lingkungan 19 hingga 58 tahun terdiri daripada warga tempatan.

"Kesemua suspek ditahan selama dua hingga empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Iklan

Tambahnya, dalam serbuan itu juga polis turut merampas pelbagai telefon bimbit, unit komputer, unit tablet dan wang tunai berjumlah RM20,184.

Antara barang yang dirampas dalam operasi Op Dadu besar-besaran di Johor bermula 15 Julai hingga Sabtu lalu.

"Tindakan tegas turut diambil termasuk melakukan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis judi dalam talian oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) selain pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membatalkan lesen perniagaan.

"Hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak 46 premis rumah kedai telah diambil tindakan pemotongan oleh TNB,:" katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai, sebanyak 525 serbuan telah dijalankan dan seramai 705 individu telah ditahan terdiri daripada 549 penjaga premis dan 156 pemain.

"Tindakan pemotongan elektrik sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 74 premis daripada 244 permohonan yang dikemukakan kepada TNB.

"Bagi pembatalan lesen premis perniagaan pula, sebanyak 224 permohonan telah dikemukakan dan hanya sembilan sahaja premis perniagaan dibatalkan lesen oleh pihak berkuasa tempatan ( PBT)," katanya.