Perlis sedia beralih Fasa Tiga PPN

Iklan
Pemandangan bandar Kangar, Perlis - Foto 123RF

KANGAR - Rakyat Perlis dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-19 walaupun beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau juga berkata, Perlis berjaya mematuhi tiga nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan walaupun kes Covid-19 di negeri itu meningkat beberapa hari kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

"Wajib patuh dan ikut SOP. Cumanya dalam sektor perniagaan ini ada kebenaran diberikan. Pokok utamanya patuh kepada SOP dan kita tunggu keputusan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, negeri yang telah beralih fasa tidak akan berpatah balik ke belakang (fasa terdahulu) dan ia diteruskan sehingga syarat nilai ambang itu dipatuhi oleh negeri terbabit untuk beralih ke fasa seterusnya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Perlis capai 38.35 peratus kadar vaksinasi, hampiri Fasa Tiga PPN

Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus daripada penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) pada tahap selamat dan kes harian Covid-19 berada di bawah angka 2,000 bagi membolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga.

Iklan

Perlis adalah antara lapan negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini selain Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Azlan berkata, susulan kes positif Covid-19 meningkat di negeri itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan negeri untuk mengenal pasti solusi terbaik bagi membendung penularan wabak tersebut.

Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong sebelum itu turun padang pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam dekat sini.

Kira-kira 500 penduduk di kawasan BIntong diberikan suntikan vaksin di bawah program MOVAK dengan bantuan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai agensi pelaksana di bawah Kementerian Perpaduan Negara. - Bernama

Perlis berjaya mematuhi tiga nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan walaupun kes Covid-19 di negeri itu meningkat beberapa hari kebelakangan ini.