KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan di Jejambat Pusingan U, Lebuhraya Bukit Jalil pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komissioner Sarifudin Mohd Saleh berkata, lori yang dipandu mangsa dipercayai terbabas di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal dijalankan mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa memandu dari arah Puchong menghala ke SIRIM, Bukit Jalil.
"Lori dipandu mangsa telah hilang kawalan semasa membelok lalu terbabas dan melanggar batu penghadang," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, kemalangan mengakibatkan lori dipandu mangsa terbalik dan mangsa tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat," katanya.