PEMAIN beregu wanita Indonesia, Greysia Polii berterima kasih kepada presiden dan rakyat negara itu yang sentiasa memberi semangat dan mendoakannya dan Apriyani Rahayu sehingga membolehkan gandingan nombor enam dunia tersebut meraih emas pertama Indonesia di Tokyo 2020.
Malah menurut Greysia, dia sangat bersyukur ini apabila percubaan kali ketiga membuahkan hasil selepas dua penampilan kali terakhir sebelum ini gagal direalisasikan di pentas temasya sukan terbesar berprestij dunia tersebut.
"Sejujurnya kami berdua amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan, kepada masyarakat Indonesia yang tidak pernah jemu untuk memberikan sokongan padu walaupun kami jarang aktif di sosial media.
"Kejayaan ini juga adalah hasil daripada doa daripada ahli keluarga, rakan, rakyat dan pemerintah serta Pak Presiden. Kami sangat bersyukur kerana dapat menghadiahkan kejayaan ini untuk rakyat Indonesia,” kata Greysia.
Pada acara beregu wanita akhir di Musashino Sports Plaza, Tokyo tersebut, Greysia Polii-Apriyani Rahayu menewaskan pasangan China, Chen Qingchen-Jia Yifan 21-19, 21-15.
Sementara itu, Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan Jokowi berkata"Kemenangan ini adalah hadiah untuk ulangtahun kemerdekaan Indonesia, dalam dua minggu lagi. Tahniah dan terima kasih Greysia-Apriyani !,” kata Jokowi di laman media sosialnya.
Untuk rekod, edisi Tokyo 2020 mencatatkan sejarah tersendiri buat kem badminton beregu wanita Indonesia kerana ini kali pertama mereka meraih pingat emas sejak sukan tersebut dipertandingkan di Barcelona 1992.
Acara beregu wanita sebelum ini tidak diletakkan harapan untuk meraih pingat emas di Tokyo 2020, namun kejayaan dilakar Greysia Polii-Apriyani Rahayu meneruskan kesinambungan emas dicipta pasangan beregu campuran Liliyana Natsir-Tontowi Ahmad semasa edisi Rio 2016 lalu.