'Puad Zarkashi jangan jadi batu api'

Iklan
Zulkepli Omar, Mohd Puad Zarkashi

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diminta tidak menjadi batu api dalam parti.

Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Zulkepli Omar berkata, Mohd Puad sebaliknya disarankan berusaha keras bagi membantu UMNO memulihkan kepercayaan rakyat, sekali gus mentadbir semula negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kepimpinan di semua peringkat dan ahli akar umbi sepatutnya mengetepikan persengketaan dan percakaran sesama sendiri dan cuba mencari peluang sebanyak mungkin untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik sekiranya Mohd Puad memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana UMNO amat memerlukan kapasiti jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk membantu parti demi menjaga rakyat.

Iklan

"Kita sepatutnya bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam situasi sekarang, sekiranya UMNO bercakaran sesama sendiri, sudah pasti kepercayaan rakyat sudah tidak ada kepada UMNO.

"Sebab itu saya amat berharap agar UMNO kembali bersatu dan membuang persengketaan sesama kita, sebaliknya fokus membantu rakyat dalam situasi yang amat memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Zulkepli berkata, beliau turut kecewa dengan sikap Mohd Puad yang banyak menghentam ramai pihak dan menganggap semua orang tidak betul.

Sedangkan, katanya, Mohd Puad tidak perlu membuat perbandingan sebegitu atau mengambil apa-apa pendirian secara bersendirian.

"Setiap orang dalam parti sepatutnya memberi fokus apa yang lebih penting untuk didahulukan dan mengetepikan apa yang tidak mendatangkan kebaikan.

"Bermakna, percakaran sesama kita, kita belakangkan. Kita fokus membela rakyat, itu yang penting bagi saya. Jangan khianati parti dan meletakkan kepentingan parti paling utama," ujar beliau.

Mohd Puad dalam kenyataan pada Isnin berkata, Ismail Sabri tidak boleh melangkaui kepimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan.

Menurut Mohd Puad, dalam kedudukan parti, Ismail Sabri merupakan Naib Presiden dan bukannya Presiden atau Timbalan Presiden UMNO, bahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Malah, katanya, jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang Ismail Sabri bukan tiket untuk 'bulldoze' Presiden UMNO dan Pengerusi BN, sebaliknya perlu mendapat persetujuan Presiden UMNO sekiranya membabitkan soal parti.

Mohd Puad berkata demikian sebagai mengulas pertemuan Ismail Sabri dengan 40 ahli Parlimen BN di Parlimen pada Khamis lalu.