Kebuntuan tiga tahun berakhir

Iklan
Kerajaan gabungan pimpinan Bennett (tengah) akhirnya mencapai kesepakatan selepas pendahulunya, Netanyahu gagal meluluskan bajet. - Foto Agensi

TEL AVIV - Kerajaan gabungan baharu Israel pada Isnin akhirnya bersetuju dengan bajet negara selepas ketidaksepakatan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mencetuskan krisis politik hingga menyaksikan empat Pilihan Raya Umum terpaksa diadakan dalam tempoh dua tahun.

Bajet itu bagaimanapun perlu diluluskan Knesset (Parlimen) menjelang 4 November depan dan perlu memperoleh sekurang-kurangnya 61 undi sokongan.

Iklan
Iklan

"Israel mempunyai belanjawan untuk tahun 2021 dan 2022. Kebuntuan selama tiga tahun berjaya diselesaikan,” kata Perdana Menteri, Naftali Bennett selepas sesi pengundian yang panjang dan berakhir pada awal pagi Isnin.

Menurut Kementerian Kewangan, peruntukan bajet untuk 2021 berjumlah AS$134 bilion (RM566 bilion) manakala sebanyak AS$140 bilion (RM591 bilion) diperuntukkan untuk 2022.

Iklan

Menteri Kewangan, Avigdor Lieberman berkata, fokus utama pembaharuan bajet itu adalah untuk menurunkan kos sara hidup.

"Kami melabur dalam jumlah yang besar untuk infrastruktur, pengangkutan dan hartanah yang akan mengurangkan birokrasi untuk memudahkan urusan semua pihak,” ujarnya.

Iklan

Sebelum ini, krisis politik yang berlarutan di bawah pentadbiran Netanyahu telah menimbulkan ketidakstabilan politik dan kesepakatan mudah dicapai di bawah kepimpinan penggantinya jelas memberi tamparan hebat kepada beliau.

Bagaimanapun, kegagalan untuk mendapat kelulusan Knesset dijangka memberi tekanan kepada Bennett dan berpotensi mengakibatkan keruntuhan kerajaan gabungan baharu itu sekali gus membawa kepada Pilihan Raya Umum kelima. - AFP