Kucing tidak dapat, wang simpanan RM3,230 lebur

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123rf

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Hajat seorang remaja untuk membeli seekor kucing baka jenis British Short Hair dengan harga murah di media sosial bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut ditipu sehingga menyebabkan kerugian RM3,230 pada Isnin.

Kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 24 tahun, tertarik untuk membeli haiwan tersebut selepas melihat satu iklan penjualan kucing kira-kira jam 1.30 petang itu.

Iklan
Iklan

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan hasratnya untuk membeli kucing terbabit.

"Suspek memaklumkan terdapat dua ekor kucing baka jenis itu yang akan dijual pada harga RM240 hingga RM290 dan mangsa bersetuju untuk membelinya.

Iklan

"Mangsa seterusnya membuat pembayaran seperti yang diminta dengan melakukan empat pemindahan wang secara talian berjumlah RM3,230 bagi pelbagai urusan berkaitan haiwan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir memaklumkan, mangsa telah diminta untuk membuat pelbagai bayaran termasuk proses untuk mendapatkan sijil kelahiran dan dokumen lain selepas membuat pembayaran pertama dan suspek memberi jaminan wang tersebut akan dikembalikan selepas semua proses terbabit selesai.

Iklan

Bagaimanapun katanya, setelah bayaran tersebut dibuat, suspek mula menyalahkan mangsa kerana membuat pemindahan wang RM1,900 sebanyak dua kali.

"Mangsa mula merasa curiga dan memaklumkan tidak mahu meneruskan urusan pembelian serta meminta wang miliknya dikembalikan.

"Suspek memaklumkan wang tersebut tidak boleh pulangkan semula dan meminta mangsa membuat bayaran terlebih dahulu bagi urusan pembatalan. Namun mangsa enggan berbuat demikian," ujarnya.

Susulan itu, Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada petang Isnin. Menurutnya, modus operandi digunakan suspek, memperdaya mangsa dengan menawarkan kucing untuk dijual melalui media sosial.

"Tindakan itu mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dan mangsa tidak peroleh kucing serta mengalami kerugian wang."Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.