Polis tahan suami isteri, disyaki dera bayi hingga mati

Iklan

KUCHING - Polis menahan sepasang suami isteri di perkarangan Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.30 petang semalam kerana disyaki mendera bayi perempuan mereka yang baru berusia 28 hari sehingga menyebabkan kematian.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, polis menerima laporan mengenai kes itu daripada seorang pegawai perubatan klinik kerajaan pada jam 3.15 petang Isnin lepas.

Iklan
Iklan

"Menurut laporan, bayi itu dihantar oleh bapanya ke klinik, dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan dan kakinya yang disyaki akibat didera secara fizikal oleh kedua-dua ibu bapanya.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan di HUS semalam, pihak hospital mendapati terdapat kesan retakan pada tempurung kepala bayi itu yang menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Iklan
Iklan

Chong Chern berkata, bapa bayi itu yang berumur 29 tahun direman selama tujuh hari manakala si ibu yang berusia 41 tahun direman selama sehari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama