ZAMOSC - Kerajaan Poland menyifatkan insiden kebakaran di sebuah pusat pemberian vaksin Covid-19 sebagai satu tindakan keganasan.
Menurut Menteri Kesihatan, Adam Niedzielski, motif kebakaran tersebut tercetus oleh seorang suspek yang dipercayai mahu menghentikan pemberian vaksin.
"Ia merupakan satu tindakan keganasan. Tindakan keganasan yang bukan sahaja menyasarkan terhadap petugas kesihatan di pusat ini, malah tindakan keganasan terhadap negara.
"Mengapa? Tujuan serangan berkenaan adalah untuk mengurangkan kadar vaksinasi, dan melengahkan vaksinasi menjelang gelombang keempat pandemik yang hanya membawa kepada satu makna, risiko sekatan, risiko tambahan sekatan dan menyebakan impak terhadap emosi orang ramai," katanya.
Kejadian tersebut berlaku awal pagi Isnin di bandar Zamosc.
Susulan kejadian, pihak polis mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang suspek lelaki sebelum kejadian berlaku.
Kerajaan kini dalam usaha untuk memperketatkan undang-undang terhadap serangan yang berlaku di pusat pemberian vaksin termasuk ke atas petugas kesihatan selepas beberapa kejadian seumpamanya berlaku.
Sebelum ini, sekumpulan antivaksin mengadakan demonstrasi dan menyerang petugas kesihatan di pusat pemberian vaksin di bandar Gdynia.
Satu lagi kejadian melibatkan aktiviti pecah masuk berlaku di bandar Warsaw. - Sumber Awani