KUALA LUMPUR - Azerbaijan, di mana 20 peratus wilayahnya masih di bawah pendudukan negara jiran Armenia, amat menghargai sokongan berterusan Malaysia dalam konflik Nagorno-Karabakh.
Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev berkata, Kuala Lumpur menyokong empat resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai ketika konflik, antara lain menekankan mengenai integriti wilayah Azerbaijan.
Beliau berkata Malaysia juga menyokong resolusi mengenai kedudukan Azerbaijan berhubung konflik Nagorno-Karabakh di forum antarabangsa lain, termasuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mengimbau kembali tahun 2017, katanya Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia-Azerbaijan menyokong sepenuhnya semua resolusi yang diterima pakai PBB dan OIC berhubung konflik Nagorno-Karabakh. Kuala Lumpur dan Baku mula menjalinkan hubungan diplomatik pada 1993.
Pada 14 Februari, beliau menerima kunjungan hormat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan kedua-dua pihak berpuasa hati dengan kerjasama sedia ada dan perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Azerbaijan.
Allahverdiyev turut mengucapkan terima kasih kepada Mohamad Ariff di atas sokongan Malaysia dalam penyelesaian konflik Armenia-Azerbaijan dan Nagorno-Karabakh yang berlangsung secara aman di samping menghargai sokongan berterusan masyarakat antarabangsa.
"Kami gembira dengan sokongan Malaysia selama ini dan sangat menghargainya. Malaysia umpama saudara kami," katanya dalam temu ramah dengan Perkhidmatan Berita Antarabanga Bernama sempena memperingati ulang tahun ke-27 tragedi Khojaly, Selasa.
Tragedi yang berlaku pada Februari 1992 di Khojaly itu menyaksikan 613 penduduk etnik Azerbaijan di sebuah bandar kecil di rantau Nagorno-Karabakh dibunuh, termasuk 106 wanita, 63 kanak-kanak dan 70 warga tua.
Pada malam tragedi berdarah itu, Allahverdiyev berkata seramai 1,275 orang lagi dijadikan tebusan manakala 150 orang masih hilang.
Sebagai memperingati mangsa yang terkorban, tugu peringatan turut didirikan di beberapa negara seperti Jerman, Turki, Belanda, Mexico dan Bosnia dan Herzegovina. Beberapa negara di dunia mengiktiraf tragedi itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Ujar Allahverdiyev kerajaannya juga sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa menjadikan tragedi itu sebagai genosid.
"Bagi negara dan rakyat, ia adalah kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sehingga kini ramai lagi masih mencari anggota keluarga mereka yang hilang. Tragedi tidak berperikemanusiaan itu tidak mungkin dapat kami lupakan sampai bila-bila," katanya.
Duta besar itu berkata lebih sejuta penduduk Azerbaijan menjadi pelarian dan hilang tempat tinggal disebabkan pendudukan Armenia.
Katanya, pada pernyataan akhir sesi ke-12 Sidang Kemuncak OIC di Kaherah pada 2013, meminta negara anggota berusaha mengiktiraf tragedi Khojaly demi untuk keadilan dan mencegah jenayah itu berulang di mana-mana negara di dunia.
Konflik antara kedua-dua negara bermula pada 1988 - tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991 - berikutan tuntutan wilayah Armenia terhadap Azerbaijan.
Pada 1992, perang meletus antara dua bekas negara Soviet itu, menyebabkan Armenia menguasia 20 peratus wilayah Azerbaijan, termasuk Nagorno-Karabakh dan tujuh daerah sekitarnya. Semua kawasan ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebahagian daripada Azerbaijan.
Namun, sehingga ke hari ini Armenia masih belum mengundurkan pasukan bersenjatanya menyebabkan tiada hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.
Meskipun gencatan senjata ditandatangani pada 1994, ketegangan masih meningkat dari semasa ke semasa. Pada Isnin (25 Februari), Kementerian Pertahanan Azerbaijan mendakwa tentera Armenia telah mencabuli gencatan senjata.
Sejarah penindasan terhadap rakyat Azerbaijan oleh Armenia bermula pada 1828. Pada 1998, pemimpin Azerbaijan, Heydar Aliyev mengeluarkan arahan, tarikh 31 Mac diingati sebagai"Hari Genosid Azerbaijan", menjalankan penilaian politik dan undang-undang mengenai genosid Armenia terhadap Azerbaijan pada permulaan abad ke-20.
Terletak di persimpangan Eropah Timur dan Asia Barat, Azerbaijan negara yang tidak berpantai dihuni kira-kira 10 juta penduduk, 96 peratus daripadanya beragama Islam.
Apabila Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaan dari Rusia pada 1918 dan sebelum dimasukkan ke dalam Kesatuan Soviet pada 1920, ia muncul sebagai negara demokratik pertama di dunia Islam.
Kemudian pada Oktober 1991, Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaannya dari Kesatuan Soviet. - Bernama