BOLEH dikatakan hampir setiap hari ada sahaja berita kurang enak yang kita terima melibatkan masyarakat di sekeliling.
Baru-baru ini berlaku satu kejadian di mana seorang individu ditemui meninggal dunia di tepi jalan dan terbaharu, kisah seorang mak cik pula dikatakan meninggal sendirian di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Pantai Permai, Pantai Dalam.
Berita itu tular selepas seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai @capiqzahari memuat naik video petugas awam memecahkan pintu rumah selepas menerima laporan daripada jiran-jiran yang curiga dengan bauan kurang enak dari rumah tersebut.
Semuanya berlaku apabila ibu kepada Ammar Halim tergerak hati untuk naik ke rumah mak cik yang berumur kira-kira 70 tahun itu apabila sudah lama tidak mendengar khabar berita tentangnya.
"Kebetulan, hari Jumaat lepas pihak surau ada memberikan sumbangan kepada asnaf disini. Kawan mak saya ada hantar surat dekat rumah mak cik itu.
"Ketuk-ketuk pintu tak buka pula, jadi mereka selit sahaja surat tersebut pada pintu pagar. Bila barang dah sampai, mak cik tu tak turun-turun untuk ambil sumbangan tu jadi kami naik ke atas untuk hantar terus kepadanya.
"Tapi, bila ketuk pintu masih lagi tidak ada respon dan surat yang diselitkan itu masih ada di pintu pagar. Waktu tu kami tak syak lagi.
"Petang semalam mereka cerita apa yang berlaku kepada mak saya dan ada yang menyarankan agar mak saya pergi melihat keadaan mak cik tersebut.
"Kemudian, mak saya naik ke rumahnya dan ketuk pintu, masih tidak lagi dibukanya. Waktu itu, mak saya tengok di tingkap biliknya, kipas dan lampu semua menyala. Hanya kelihatan kain batik dan telekung di atas katil.
"Lepas tu mak cakap waktu tu memang dah terhidu satu bauan yang kuat dan tidak enak. Ingatkan bau sampah orang tinggal dekat tangga ke atau mak cik tu punya sampah, tapi bila tengok dekat tong sampah di luar rumahnya kosong saja.
"Kawan mak masih lagi cuba untuk mengetuk pintu. Hati mula rasa tak sedap dan mak pun balik rumah beritahu ayah saya.
"Pada mulanya mak memang dah rasa macam mak cik tu dah tak ada tapi ayah cakap betul ke mak tu tau bau mayat.
Ayah pun naik ke atas dan setelah menghidu bau tersebut, ayah cakap itu memang bau mayat. Kami terus buat laporan pada pengawal keselamatan, namun tindakan mereka agak lambat.
"Ayah saya terus menelefon pengerusi perumahan kami dan mereka pun naik ke rumah mak cik itu dan turut mengesahkan bahawa itu adalah bau mayat.
"Mereka terus menelefon polis dan tidak lama selepas itu, pihak polis, bomba dan beberapa anggota KKM datang ke rumah.
"Operasi memecahkan pintu dilakukan dengan segera dan pada mulanya pihak bomba tidak menjumpai sebarang mayat, tetapi akhirnya barulah mayat mak cik itu dijumpai tertiarap di dalam bilik,” jelas Ammar.
Tinggal bersendirian
Kami turut bertanyakan kepada Ammar siapa sebenarnya penghuni rumah itu dan bagaimana keadaannya sebelum ini.
"Mak cik tu dah lama tinggal di sini dan dia memang duduk seorang diri. Khabarnya, dia mempunyai seorang anak angkat yang menetap di Johor.
"Jiran sebelah rumah mak cik tu ada berkata beberapa hari lepas anak angkatnya beritahu call mak tapi tak angkat,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada mak cik itu memang sakit atau mempunyai masalah kesihatan, Ammar turut berkongsi cerita bahawa kali terakhir maknya berjumpa dengan mak cik itu adalah sehari sebelum raya Aidiladha tempoh hari.
"Mak ada cakap sehari sebelum raya jumpa mak cik tu berjalan nak ke kedai beli ubat batuk katanya. Waktu tu memang nampak dia tak larat dan mak serta kawannya memimpin mak cik itu ke pintu lif. Itulah kali terakhir mak jumpa mak cik itu. Rasanya memang mak cik itu tidak sihat.
"Alhamdulillah, lebih kurang pukul 11.40 malam semalam semuanya telah selesai dan mayat mak cik tersebut dibawa ke hospital untuk siasatan forensik,” tambah Ammar lagi. - Sumber Awani