KAMPUNG GAJAH - Seorang pelajar tingkatan empat terpaksa mengorbankan masa depannya apabila berhenti sekolah bagi membantu ibu dan ayahnya menjaga adik-adiknya di rumah.
Faris Aiman Ishak, 16, anak kedua daripada lapan beradik tidak menyangka kehidupan mereka sekeluarga yang dahulunya ceria seperti keluarga lain berubah dalam sekelip mata apabila adiknya Muhamad Darwish Irfan, 7, disahkan menghidapi acute myeloid leukemia (AML) awal tahun ini.
Faris Aiman yang bercita-cita mahu menyambung pelajarannya di maahd tahfiz dan menjadi hufaz berkata, dia rela berkorban agar dapat meringankan beban keluarga lebih-lebih lagi ibu bapanya yang sedang susah hati melihat nasib adiknya itu.
"Darwish sebelum ini seorang yang ceria. Bulan lepas dia tiba-tiba demam dan lemah lalu ayah bawa dia ke hospital. Selepas menerima rawatan doktor bagi tahu dia ada leukimia.
"Lebih menyedihkan apabila setiap kali melawat dia di hospital, dia bagitahu yang dia rasa sangat sakit. Saya dan kakak sering menahan air mata kerana sedih melihat nasibnya," katanya ketika di temui di kediaman mereka di Desa Amanjaya Rimbunan Kasih Tanjung Tualang, di sini, baru-baru ini.
Menurut Faris Aiman, pada mulanya, kakak sulungnya Nur Alia Natasha, 17, mahu menjaga adik-adik mereka tetapi dia melarang kerana kakaknya itu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
"Jadi tidak apalah, biar saya sahaja yang jaga adik-adik kerana emak menjaga Darwish di hospital di Ipoh, ayah pula bekerja. Kalau tidak susah tiada yang nak uruskan makan minum kami.
"Setiap hari seawal jam 5 pagi saya sudah bangun bantu ayah siapkan tiga adik yang bersekolah di Tahun Lima, Tiga dan pra sekolah, manakala adik bongsu berusia setahun lebih akan tinggal bersama saya di rumah," katanya.
Sementara itu, Ishak Mat Saaid, 42, berkata, anak keenamnya, Muhamad Darwish Irfan dikesan mempunyai penyakit itu awal tahun ini selepas kerap demam dan lemah sejak hujung tahun lalu.
Katanya, sejak anaknya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dari Hospital Seri Manjung (HSM) dia berulang alik ke Ipoh dua hingga tiga kali seminggu dengan perjalanan hampir dua jam.
"Darwish kini sudah menjalani dua sesi kimoterapi serta masih mempunyai beberapa sesi lagi dan dijangka dapat pulang ke rumah Mac ini.
"Sejak isteri menjaga Darwish di hospital, Faris yang bantu saya jaga adiknya di rumah dan saya sangat bersyukur dia sanggup membantu keluarga,” katanya.
Katanya, dengan pendapatan bersih RM1,200 sebulan sebagai pekerja ladang, kehidupan mereka sekeluarga sederhana biarpun tidak mewah, namun perbelanjaan semakin meningkat apabila perlu berulang-alik ke Ipoh.
"Kami makan pun berjimat, isteri saya di hospital juga berjimat, anak-anak sekolah lagi duit belanja mereka pun perlu diberi. Yurun sekolah anak saya ada juga yang belum dibayar.
"Saya reda kerana ini mungkin ujian buat kami sekeluarga dan tidak kira sesusah mana pun saya tetap akan berusaha buat keluarga kami dan mendoakan anak saya cepat sihat," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional di atas nama Ishak Mat Saaid bernombor 08233-41-0000-83367.