Buat kenyataan jelik, peguam Buzze Azam didakwa lagi

Iklan
Mohd Khairul Azam hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan membuat kenyataan jelik berkenaan sistem kehakiman negara dan PDRM di laman Facebook miliknya, Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam dikenali Buzze Azam yang pernah didakwa di Mahkamah Majistret di sini tahun lalu, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan membuat kenyataan jelik berkenaan sistem kehakiman negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook miliknya, Mac lalu.

Buzze Azam atau nama sebenar Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, 44, juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairul Azam didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Ia dibuat melalui aplikasi Facebook menggunakan profil Buzze Azam pada jam 1.04 tengah hari, 24 Mac lalu dan dibaca pada jam 3.50 petang, 25 Mac lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Iklan

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff memohon agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menanggung lima anak yang masih kecil.

"Anak guam saya merupakan seorang peguam yang berdaftar dan seorang aktivis masyarakat dalam perundangan, maka beliau tidak mempunyai sebarang risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Februari 2020, media melaporkan Mohd Khairul Azam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membuat kenyataan yang mengapikan orang Melayu terhadap bangsa Cina dan India melalui aplikasi Facebook.

Bagaimanapun, pada 24 Mac lalu, Mohd Khairul Azam dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan selepas Jabatan Peguam Negara meneliti representasi daripada pembelaan dan menarik balik pertuduhan terhadap peguam itu.