JEMPOL- Dua lelaki masing-masing dipercayai merupakan tokan dan runner dadah ditahan ketika leka membungkus bahan terlarang itu di sebuah kebun getah di Felda Lui Selatan 2 di sini pada Isnin.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 40 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol kira-kira jam 4.05 petang.
"Hasil pemeriksaan polis menemui empat bungkusan plastik lutsinar pelbagai saiz berisi disyaki dadah berbahaya jenis heroin anggaran berat 22.50 gram.
"Selain itu, polis turut menemui satu peket plastik lutsinar di dalamnya ada empat peket plastik lutsinar ketulan-ketulan jernih bahan disyaki dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat 8.30 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai penoreh itu menjadikan kebun tersebut sebagai pusat membungkus dadah sejak dua bulan lalu.
"Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai enam dan empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah lain.
"Suspek berusia 40 tahun terlibat dengan dadah sejak 19 tahun lalu manakala suspek kedua pula terlibat dengan dadah sejak lapan tahun lalu dan mereka disahkan positif dadah hasil ujian air kencing.
"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.