ATLET Australia, Andrew Hoy layak untuk berbangga selepas menjadi antara atlet tertua memenangi pingat sepanjang penganjuran sukan Olimpik.
Hoy memenangi pingat perak acara eventing berpasukan di Olimpik Tokyo dan turut meraih gangsa menerusi acara eventing individu pada usia 62 tahun.
Iklan
Iklan
"Saya sebenarnya bangga orang mengatakan betapa tuanya saya kerana ketika menceburi sukan ini saya bangga apabila menjadi ahli termuda pasukan.
"Apabila orang berjumpa saya di perkampungan sukan mereka akan bertanya, 'Adakah anda seorang pegawai?'
"Dan saya akan jawab, 'Saya seorang atlet'," kata Hoy yang memulakan penyertaan Olimpiknya pada 1984.
Dua pingat itu menjadi pingat Olimpik kelimanya dalam sejarah penyertaan Hoy dengan sebelum ini meraih tiga emas ketika Olimpik 1992, 1996 dan 2000.
Hoy bagaimanapun masih belum mengatasi rekod atlet Switzerland, Louis Noverraz yang memenangi perak acara pelayaran pada usia 66 tahun di Olimpik Mexico City pada tahun 1968.