PARIT - Perak dijangka mampu menjadi pengeluar utama tanaman kenaf di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai apabila kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan memperluaskan tanaman tersebut ke kawasan lain.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 140 hektar tanaman kenaf yang diusahakan secara besar-besaran di Gugusan Ladang Lambor, di sini diuruskan PPPNP.
"Tanaman kenaf telah pun kita mulakan sejak awal tahun ini dan kerajaan negeri telah berbincang dengan PPPNP untuk memperluaskannya di Perak.
"Kita melihat potensi tanaman ini dan mungkin kita boleh menjadi pengeluar utama dalam negara," katanya kepada pemberita selepas hadir dalam Lawatan Kerja dan Perasmian Penuaian Tanaman Kenaf di ladang Gugusan Lambor, di sini, pada Selasa.
Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus Cannabinus L. adalah sejenis pokok berserat bukan berkayu dan tanaman jangka pendek. Kenaf tergolong dalam famili Malvaceae dan berada di bawah genus Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan kapas.
Penanaman kenaf mula diperkenalkan pada tahun 2004 di negara ini sebagai tanaman pengenalan juga diusahakan di beberapa negara lain untuk penghasilan fiber dan pelbagai produk lain.
Dalam pada itu, Razman mendedahkan kerajaan Perak berhasrat membina sebuah kilang memproses kenaf yang ditanam di negeri ini.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi menggalakkan lebih ramai rakyat di negeri ini menanam tanaman tersebut.
Sementara itu, kerajaan negeri juga kata beliau sedang berusaha untuk menggalakkan tanaman kenaf sebagai tanaman selingan di ladang-ladang sawit di Perak.
"Kita akan cuba berunding dengan agensi-agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini yang mengusahakan tanaman kelapa sawit untuk terlibat dengan kenaf.
"Model yang ada di Ladang Lambor ini akan digunakan untuk menggalakkan agensi dan GLC serta Felda dan Felcra untuk tanam kenaf di tengah-tengah apabila mereka mahu membuat penanaman semula kelapa sawit," katanya.
PPPNP sebelum ini mengadakan usahasama Lembaga Kenaf Tembakau Negara (LKTN) bagi penanaman kenaf di Gugusan Ladang Lambor dengan melibatkan seramai 70 peserta terdiri dalam kalangan penduduk setempat.