Selangor wujudkan Enakmen Majlis PeBS menjelang sidang DUN

Iklan
Mohd Khairuddin (kiri) bersama Pengarah Eksekutif MSNS, Mohamed Nizam Marjugi menunjukkan logo baharu PeBS yang dijenamakan semula di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dalam proses mewujudkan Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang akan dibentang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tahun ini bagi membolehkan ia berdiri sebagai satu entiti tersendiri.

Exco Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pembentukan enakmen tersebut akan membolehkan PeBS mampu berdikari untuk menggerakkan aktiviti berbentuk sukarela dan program dalam talian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, enakmen tersebut kini sedang diteliti dan akan dibentangkan pada sidang DUN selewat-lewatnya pada Disember tahun ini.

"Dulu Penggerak Belia Tempatan (PeBT) merupakan entiti yang berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun setelah penjenamaan semula kepada PeBS dilakukan, ia diletakkan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada waktu ini.

Iklan

"Buat masa ini, semua program berkaitan belia dipantau dan dikawal oleh MSNS, jadi kita mahu ada pengkhususan khas buat golongan tersebut.

"Oleh itu, enakmen tersebut diharap memberi manfaat kepada PeBS, yang mana mereka boleh terus berhubung dengan mana-mana persatuan di Selangor untuk menjalankan sebarang aktiviti berkaitan belia,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Logo Rasmi PeBS di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini pada Selasa.

Iklan

PeBT yang ditubuhkan pada tahun 2009 kini dijenamakan semula kepada PeBS pada Selasa melibatkan logo yang lebih segar dan muda, imej korporat rasmi yang menampilkan sikap profesional, penyusunan organisasi yang lebih rapi serta proaktif.

Mohd Khairuddin berkata, seramai 280 anak muda menyertai oraganisasi tersebut di setiap 56 DUN di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta bagi memastikan kelancaran jentera PeBS untuk bergerak aktif sebagai agen penggerak agenda pembangunan di peringkat akar umbi.

"Ahli PeBS adalah lantikan kerajaan Selangor yang berumur antara 18 hingga 35 tahun dan diberi elaun termasuk belia yang dilantik di peringkat exco.

"Namun begitu, kita juga menubuhkan Selangor Volunteer (Serve) untuk golongan umur melebihi 35 tahun supaya mereka juga boleh menyertai aktiviti kesukarelawan yang bakal dilancarkan pada bulan ini.

"Kita mempunyai jumlah sasaran belia yang berbeza di setiap kawasan DUN, kerana terdapat perbezaan dari segi pendekatan ahli PeBS di kawasan bandar dan luar bandar.

"Jadi ia terpulang kepada mereka untuk merangka program mengikut kesesuaian kawasan mereka bagi mendekati golongan belia setempat,” katanya.