SHAH ALAM - Tindakan menghalang ahli-ahli Parlimen daripada memasuki Parlimen adalah satu pelanggaran perintah yang dikeluarkan Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Selasa, berdasarkan usul Menteri Dalam Negeri sewaktu permulaan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Ketua Polis Negara perlu menjaga supaya jalan-jalan menuju ke Dewan Rakyat hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui selama penggal yang ada.
"Jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli Parlimen hendak pergi dan balik dari dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke dewan ini dan supaya jangan ada huru-hara di bangunan dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini.
"Penting dijelaskan bahawa Parlimen sekarang masih berada dalam Penggal Ketiga oleh kerana tiada pewartaan proklamasi oleh Yang di-Pertuan Agong memprorog penggal tersebut berdasarkan Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut ditulis oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pada Isnin, seramai 107 ahli Parlimen dari parti pembangkang telah dihalang daripada memasuki Parlimen.
Halangan itu bermula dari sekatan jalan raya di beberapa lokasi menghala ke Parlimen dan kehadiran anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Bulatan Dato’ Onn.
Menurut kenyataan bersama itu, tindakan mengugut dan menghalang ahli Parlimen daripada menjalankan kuasanya yang sah di sisi undang-undang melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda.
"Majlis Presiden Pakatan Harapan amat kesal dengan tindakan mengarah serta memperalat PDRM bagi menghalang ahli Parlimen daripada memasuki Parlimen.
Kami juga amat kesal dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang telah membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara ini berlaku.
"Beliau telah gagal melindungi dan mempertahankan hak ahli-ahli Parlimen dan mesti meletakkan jawatan.
Kami juga telah meminta ahli-ahli Parlimen untuk membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan,” kata ketiga-tiga pemimpin itu.
Kenyataan itu menjelaskan, niat untuk hadir ke Parlimen hanyalah untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berasaskan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen perlu membahas dan memutuskan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.
"Namun sekali lagi kerajaan Perikatan Nasional telah menunjukkan inilah kerajaan yang telah mengingkari titah perintah Seri Paduka Baginda, tidak mengendahkan Parlimen, dan melanggari Perlembagaan Persekutuan,” ujar mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan berarak ke bangunan Parlimen gagal