KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan data kematian akibat Covid-19 untuk membantu anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa disebabkan pandemik itu.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, KPWKM turut bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan persatuan penduduk di seluruh negara bagi memastikan anak-anak yatim tersebut sentiasa terbela dan tidak dipinggirkan.
"Ini salah satu inisiatif di bawah kementerian dalam keadaan pandemik ini, kita baca dan kita lihat ramai juga anak-anak kehilangan ibu bapa disebabkan Covid-19.
"Sewaktu mereka kehilangan ibu dan ayah, mereka juga perlu kekuatan untuk teruskan kehidupan seharian,” katanya.
Beliau sebelum itu menyantuni seorang ibu tunggal, Yusmah Yusof, 44, yang mempunyai lapan anak di Desa Pandan di sini yang terkesan selepas kematian suami akibat Covid-19.
Antara sumbangan yang diterima Yusmah termasuk Bantuan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM750 sebulan mulai September ini bagi menampung perbelanjaan lapan anaknya yang berusia antara sembilan hingga 20 tahun.
Wanita itu turut menerima Bakul Prihatin Negara, Tabung Bantuan Segera RM300, Kotak Kasih Yayasan Kebajikan Negara, tablet untuk pembelajaran di rumah serta Sumbangan Tunai Bantuan Prihatin RM500.
Sementara itu, Rina berkata, KPWKM turut memberikan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga tersebut.
Dalam pada itu, Rina memaklumkan sebanyak 371,082 permohonan Bakul Prihatin Negara diterima dengan lebih 50,000 sudah diedarkan dan memberi manfaat kepada 172,239 isi rumah.
Peruntukan Bantuan Kanak-Kanak di JKM itu turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak RM154,631,275 bantuan sudah diberikan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding keseluruhan peruntukan sepanjang tahun lepas iaitu RM192,662,892.