Pakaian berteknologi tinggi senjata Azizulhasni, Shah Firdaus

Iklan
Azizulhasni (dua dari kiri) dan Shah Firdaus akan menggunakan basikal model WX-R Vorteq pada Sukan Olimpik kali ini. - Foto Facebook Azizulhasni Awang

PAKAIAN lumba berteknologi tinggi dihasilkan daripada bahan terpilih dari lebih 40,000 kombinasi bahan, kelajuan dan ketegangan fabrik antara senjata rahsia skuad berbasikal trek negara dalam misi melakar sejarah gemilang pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pakaian lumba berjenama Vorteq itu adalah sebahagian daripada projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara ISN dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selain basikal model WX-R Vorteq bernilai lebih RM300,000 yang bakal digunakan kedua-dua pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Tokyo, pakaian lumba itu juga mampu memberi impak besar kepada prestasi keseluruhan atlet ketika bertanding.

Menurut beliau, penggunaan pakaian lumba yang wajib diluluskan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu direka khas mengikut saiz fizikal dan fisiologi atlet supaya dapat membantu atlet mengekalkan posisi ketika berlumba sekali gus dapat meminimumkan rintangan daya seret.

Iklan

"Ia macam senjata rahsia, kalau dapat lihat teknologinya memang hebat sebab ia akan kekalkan kedudukan pelumba. Nak pakaikan kena tiga orang, memakainya memang satu cabaran dan selepas itu posisi pelumba akan kekal saja (dalam perlumbaan).

"Banyak bahan yang diuji dalam R&D bagi mendapatkan bahan yang tepat untuk pakaian lumba tersebut, kita perlu pastikan bahan dipilih adalah tepat untuk membantu atlet menunjukkan prestasi yang lebih baik dan R&D pakaian lumba itu sendiri mengambil masa," kata beliau tanpa mendedahkan nilainya.

Iklan

Beliau berkata, bahan yang dipilih dalam penghasilan pakaian lumba itu juga telah melalui ujian terowong angin.

Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017 dan Shah Firdaus, masing-masing akan memulakan cabaran di Tokyo dalam acara pecut dan keirin di Izu Velodrom, Shizuoka bermula esok.

Ia merupakan penampilan Olimpik keempat Azizulhasni yang diberi jolokan 'The Pocket Rocketman' sejak edisi Beijing 2008 dan London 2012 sebelum memenangi pingat gangsa dalam acara keirin di Rio 2016 manakala Tokyo 2020 adalah penampilan Olimpik pertama Shah Firdaus.

Sementara itu, Ahmad Faedzal berkata, gambaran besar projek R&D antara ISN dan TOTALSIM Ltd. yang dimulakan pada 2018 adalah untuk memberi fokus kepada konsep peningkatan marginal.

Jelasnya, setiap aspek yang boleh membantu memaksimumkan apa jua potensi dimiliki Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus ke arah pencapaian prestasi tertinggi termasuk pakaian lumba, posisi kayuhan, rangka basikal dan hendal antaranya yang diberi perhatian utama.

"Semua (elemen) itu akan menghasilkan sedikit bantuan atau pengurangan dalam seretan dari segi peratusan kecil tetapi apabila kita kumpulkan banyak-banyak ia akan hasilkan peratusan yang banyak dan mampu beri kesan besar kepada prestasi ketika beraksi," tambah beliau.

Ahmad Faedzal berkata, pakar dan saintis sukan ISN telah mempelajari sesuatu berharga serta meraih pengalaman berguna selama tiga tahun terlibat dalam projek R&D itu.

"Bukan lagi setakat hanya bergantung kepada aspek fisiologi semata-mata, ada sesetengah sukan ia merupakan kombinasi antara fisiologi dan juga teknologi, jentera itu sendiri adalah penting," katanya. - Bernama